2015 tahun malap buat Malaysia, kata Muhyiddin

tan-sri-muhyiddin-yassin.storyimage

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, Jumaat – Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap tahun 2015 merupakan tahun ‘malap’ buat Malaysia dari segi integriti dan ketelusan tadbir urus negara.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tirai 2015 dilabuhkan dengan krisis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan yang masih belum pulih berikutan kegagalan pihak kerajaan menjelaskan berhubung isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan misteri derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

“Skandal 1MDB, misteri derma politik RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, pemecatan Peguam Negara, pelantikan beberapa ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang sedang mendengar kes 1MDB sebagai anggota pentadbiran.

“Pertukaran serta merta beberapa pegawai kanan SPRM yang terlibat dalam siasatan skandal 1MDB dan keengganan Peguam Negara mendakwa pihak-pihak tertentu berdasarkan hasil siasatan Bank Negara mengenai dakwaan salah laku urusniaga 1MDB menimbulkan banyak persoalan dan keraguan mengenai ketelusan dan integriti dalam tadbir urus negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau akui tahun baharu 2016 ini menjadi tahun yang lebih mencabar dan getir buat rakyat Malaysia ekoran iklim ekonomi dunia yang tidak menentu.

“Harga minyak dunia dijangka jatuh ke paras yang lebih rendah dan Malaysia sebagai sebuah negara yang sebahagian hasilnya bergantung kepada sumber minyak akan terjejas.

“Sumber kewangan kerajaan semakin merosot dan kemampuan kerajaan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat semakin terhad.

“Selain itu, kesan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ke atas ekonomi negara dan kebajikan rakyat juga masih belum menentu,” katanya.

Dalam keadaan yang semakin sukar ini, Muhyiddin berkata isu integriti dan akauntabiliti pemimpin kerajaan dalam mentadbir negara menjadi semakin penting.

Katanya, pemimpin kerajaan juga bertanggungjawab untuk mencegah ketirisan, pembaziran dan pemborosan dalam perbelanjaan kerajaan ketika rakyat diminta supaya berjimat cermat serta bekerja lebih masa untuk menambah pendapatan.

“Pastikan setiap sen wang yang dibelanjakan oleh kerajaan sampai kepada rakyat.

“Setiap sen cukai yang dikutip daripada rakyat mesti dikembalikan semula kepada rakyat melalui peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan awam, kemudahan awam, pendidikan, pengangkutan, kesihatan dan program-program kebajikan yang benar-benar memanfaatkan golongan sasar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menggesa umat Islam bertanggungjawab untuk memastikan ajaran Islam yang sebenar dipratikkan dalam pemerintahan dan kehidupan seharian.

Jelasnya, kerjasama dan perpaduan dalam kalangan umat Islam perlu dibina di atas prinsip dan nilai murni bukan sebaliknya.

“Saya percaya perpaduan dalam kalangan umat Islam yang bertunjangkan prinsip dan nilai murni ini akan menjadikan umat Islam sebagai umat yang lebih bermaruah, lebih dihormati oleh masyarakat bukan Islam dan beroleh keredhaan Allah s.w.t.

“Nilai keadilan dan kejujuran yang diamalkan oleh umat Islam juga akan mewujudkan keharmonian dalam hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian