8 Rahsia Kau Makin Dekat Dengan Tuhan

Berterusan dengan amalan baik disebut sebagai ISTIQAMAH atau secara mudah untuk kita fahami ialah KONSISTEN. Konsisten dalam mentaati Allah.

Al-Imam an-Nawawi mentakrifkannya sebagai melazimi ketaatan kepada Allah. Kadangkala kita bersemangat melakukan sesuatu amalan tetapi gagal melakukannya secara berterusan sedangkan amalan yang baik ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit. “Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit” (HR Bukhari)

Berikut adalah beberapa tips untuk kekal konsisten melakukan amalan yang baik mudah-mudahan dapat memberi manfaat kepada diri saya dan pembaca sekelian:

1. IKHLAS
Perkara terpenting dalam memastikan sesuatu amalan berterusan ialah ikhlas. Tanpa ikhlas menjadikan amalan bukan sahaja tertolak bahkan mendapat murka Allah. “Mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya” (al-Bayyinah:5)

2. SOLAT BERJEMAAH
Mengapa solat berjemaah? Kerana solat berjemaah memberi kekuatan kepada pengamalnya. Solat mencegah keji dan mungkar, diri yang tercegah keji dan mungkar pasti mengisinya dengan kebaikan dan ketaatan.

3. ILMU
Berbeza di sisi Allah orang yang berilmu dan orang yang tidak berilmu. Orang berilmu yang beramal dengan ilmunya akan lebih terjamin kesahihan amalannya. Justeru, untuk memotivasi diri supaya terus konsisten beramal adalah dengan mengetahui fadhilat sesuatu amalan. Dan pastinya ia dengan ilmu.

4. TAKUT
Takut dan bimbang terjerumus dalam kemaksiatan dan larangan akan menjadikan seseorang bersegera dalam kebaikan dan ketaatan. Bimbang amalan tidak diterima Allah akan menjadikan seseorang sentiasa mengharapkan keredhaanNya.

5. SAHABAT YANG BAIK
Sahabat yang baik pasti memberi manfaat dan memandu ke arah yang baik dan begitulah sebaliknya. Ini dapat difahami dari perumpamaan Rasulullah saw kawan yang baik umpama pembawa minyak wangi yang sekurang-kurang kita mendapat bau wangiannya dan kawan yang tidak baik pula ibarat tukang besi yang apabila didekati pastinya akan memercikkan api yang merosakkan baju atau sekurang-kurangnya mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.

6. MENJAGA PANCAINDERA
Setiap daripada pancaindera pasti akan dipersoalkan bagaimana ianya dimanfaatkan, jika tidak dipelihara sebaiknya pastinya menjadi sumber dosa. Dosa akan mematikan hati sekaligus menutup selera untuk beramal.

7. AWASI PERANGKAP SYAITAN
Kerja syaitan itu menyesatkan manusia, syaitan akan berusaha dengan apa cara untuk melaksanakan tugasannya. Ya, hatta di dalam melakukan amal ibadah mampu disesat dan diselewengkannya. Jadi amat penting mengawasinya supaya tidak terperangkap dengan mengikut langkah-langkahnya.

8. DOA
Doa ibarat senjata mukmin, berdoalah diberikan kekuatan untuk kekal konsisten dalam beramal. Dalam apa jua usaha sekalipun jangan sesekali dilupakan bahawa Allah jualah yang berkuasa memberi taufik dan hidayah.

Semoga Allah mengurniakan kita istiqamah.

ust wan 2

 

 

 

 

 

 

 

Ustaz Hj Wan Muhammad bin Mior Ismail
Ketua Biro Dakwah
Isma Nilai

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian