Bencana Bauksit: Kita lupa kita khalifah!

Sejak awal lagi kita perlu sentiasa ingat dan sedar, asas kewujudan kita atas muka bumi ini  adalah bentuk kita merupakan khalifah. Iaitu mereka yang dihantar ke bumi dengan tugasan untuk mengurus tadbir alam ini, bukan sekadar mengurus manusia sahaja tetapi lebih daripada itu meliputi segala perkara yang berkait dengan bumi ini. Urus tadbir keseluruhannya agar selari dengan kehendak Allah swt.

Alam dan bumi ini pula hendaklah dilihat sebagai anugerah Allah swt, ianya merupakan antara nikmat untuk kita yang perlu kita tanam pada diri ini sifat syukur atas pemberian ini. Seperti mana kita berasa syukur atas anugerah zuriat atau anak kita sendiri maka begitu jugalah sepatutnya perasaan yang sama kita perlu ada terhadap alam ini. Syukur dengan memelihara dan menjaganya dengan baik.

Diawal surah Al-Baqarah, Allah swt menceritakan bagaimana antara perbezaan utama sifat bagi seorang mukmin yang benar keimanannya dan juga orang yang mengingkari perintah Allah swt adalah antara memelihara atau memusnahkan alam ini.

Dan apabila dikatakan kepada mereka (orang kafir): Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. (11) Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. (Al-Baqarah: 11-12)

Memelihara alam sekitar dalam kefahaman Islam adalah suatu perkara yang sudah lama sebati. Bahkan ketika dalam peperangan pun iaitu pertempuran antara hidup dan mati, Rasulullah SAW sendiri bersikap tegas antaranya soal larangan memotong atau mencabut tumbuhan sesuka hati. Termasuk juga pantang larang ketika berihram, soal membangunkan tanah dan banyak perkara lain lagi.

Hinggakan apabila kiamat sedang terjadi pun, Islam masih melihat soal memelihara alam sekitar ini antara ibadat yang terutama ketika itu.

إِنْ قَامَتْ السَّاعَةُ وَبِيَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ، فَإِنْ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا يَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَفْعَلْ

“ Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat. Maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapat pahala.” (HR: Al-Bukhari)

Isu bauksit yang kita lihat pada hari ini hakikatnya jelas kita lupa akan tugasan utama di atas muka bumi ini. Islam membenarkan mengambil manfaat daripada segala hasil bumi, namun hendaklah usaha-usaha tersebut tidak membawa kepada mudharat yang lebih besar terhadap manusia keseluruhannya. Laut yang kotor, sungai tercemar, udara tidak lagi bersih jelas menunjukkan pengambilan hasil bumi bauksit secara tidak terurus ini telah mengundang mudharat yang lain.

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya (al-A’raf:56)

Imam Qurtubi menyebut bahawa Ad-Dohak ra (sahabat nabi SAW) menyebut berkenaan ayat ini: Ianya adalah satu larangan jelas untuk tidak boleh memusnahkan alam ini sesuka hati. Maka tidak boleh dia mengotorkan air atau memotong pokok rimbun kerana ianya adalah satu dhoror.

Banyak peristiwa yang berlaku seperti banjir, tanah runtuh, kepanasan melampau, kebakaran hutan dan lain-lain pada hari ini kita sangka sekadar bencana alam, tetapi sebenarnya ianya adalah tanda kemurkaan Allah swt terhadap sikap angkuh sombong kita. Terus meratah dan mengaut segala hasil bumi ini hingga kita lupa bahawa kita hanyalah “penumpang kepada rumah sewa ini”.

Kita selalu sebut dalam ayat quran ada menyebut bahawa sesiapa yang membunuh satu jiwa maka seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia tetapi sebenarnya dalam ayat itu menyebut perumpamaan itu antara dua perbuatan yang buruk: iaitu samada membunuh manusia atau memusnahkan alam ini. Kedua perbuatan ini tiada beza secara hakikatnya!

Kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya (al-Maidah: 32)

Cukuplah segala peristiwa ini memberi satu pengajaran besar untuk kita, pengajaran untuk kita kembali berubah untuk terus memelihara anugerah Allah SWT yang tidak ternilai ini. Peliharalah alam ini dengan merasakan ianya adalah satu ibadat kepadaNya juga satu pertanggungjawaban keatas kita.

Berbuat baik terhadap alam ini tidak menguntungkan sesiapa melainkan diri kita begitu berbuat buruk terhadap alam ini tidak merugikan sesiapa melainkan diri kita. Bak kata peribahasa Melayu “berbakti pada tanah, pasti mendatangkan hasil”, ianya selari dengan kaedah yang Allah swt sebut dalam Al-Quran:

Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga? (Ar Rahman: 60)

firdaus zalani

 

 
Ustaz Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian