Buat persediaan awal bagi meminimumkan kesan El Nino

kesan-fenomena-el-nino

KUALA LUMPUR, Jumaat – Para pengguna tidak seharusnya menyimpan air terawat dalam jumlah yang besar berikutan kemungkinan kekurangan bekalan air yang boleh berlaku akibat fenomena El Nino sekarang, kata Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran.
 
Beliau menegaskan tindakan menakung air secara berlebihan akan menyebabkan permintaan terhadap air terawat meningkat, sekali gus boleh menyebabkan masalah kekurangan air di kawasan-kawasan takungan yang diservis oleh loji rawatan dengan rizab margin yang rendah.
 
Beliau berkata agensi-agensi kerajaan, pengendali-pengendali loji rawatan air (LRA), syarikat-syarikat bekalan air dan para pengguna hendaklah membuat persediaan sewajarnya untuk mengurangkan kesan El Nino, yang melanda negara pada masa ini.
     
“Terdapat pelbagai ramalan mengenai kesan El Nino tahun ini… apa juga kemungkinan kesannya, kita mesti bersedia menghadapinya,” katanya kepada Bernama.
     
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail dilaporkan berkata bahawa tahap El Nino semasa dikategorikan sebagai “kuat” dan suhu di negara ini dijangka meningkat antara 0.5 dan dua darjah Celsius.
   
Beliau berkata taburan hujan Malaysia dijangka berkurangan sebanyak 20 hingga 60 peratus mulai bulan ini berikutan fenomena cuaca.
   
Selain itu, kesan El Nino yang kuat diramal berterusan sehingga April dan negeri-negeri di utara Semenanjung kini sudah mula merasai kesannya.
 
Che Gayah berkata intensiti fenomena El Nino dijangka mencapai kemuncak pada bulan ini dan seterusnya beransur lemah mulai Februari. Keadaan dijangka kembali normal selepas Jun tahun ini.
 
Pada Isnin, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara berkata ia masih belum menerima sebarang laporan mengenai kekurangan bekalan air berikutan cuaca panas semasa, dan setakat ini bekalan di Semenanjung dan Labuan masih terkawal.
   
Sementara itu, Piarapakaran berkata walaupun keadaan masa kini tidak membimbangkan, operator LRA dan pembekal air perlu mula mengenal pasti kawasan-kawasan yang mempunyai rizab margin air terawat yang rendah.

Beliau berkata kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar perlu lebih kerap menjalankan pemeriksaan bagi memastikan loji-loji rawatan tidak ditutup akibat isu-isu pencemaran.
   
Katanya pembekal-pembekal air juga boleh mempertimbangkan untuk menurunkan tekanan air ke tahap yang dibenarkan ketika waktu bukan puncak sebagai usaha mengurangkan penggunaan air terawat.
   
“Jika berlaku catuan air, pengguna perlu dimaklumkan mengenai jadual catuan bagi menghalang berlakunya penggunaan panik,” katanya.- Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?