Data pelajar bocor: Kementerian Pendidikan buat laporan polis

KPM_Logo

PUTRAJAYA, Rabu – Kementerian Pendidikan semalam, membuat laporan polis berhubung isu maklumat dan data pelajar yang didakwa bocor, baru-baru ini.

Laporan dibuat oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Abdullah Mad Yunus di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini pada kira-kira jam 6 petang.

“Laporan Kementerian Pendidikan bertujuan meminta polis buat siasatan lanjut sama ada ia merupakan kebocoran daripada pihak dalam atau ada sebab-sebab lain yang membolehkan data tersebut diperoleh oleh pihak luar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Putrajaya, di sini.

Abdullah berkata, Bahagian Pengurusan Sekolah menerima maklumat mengenai kebocoran data pelajar pada 30 Disember lalu dan satu mesyuarat diadakan serta memutuskan supaya laporan polis dibuat.

Berdasarkan laporan yang tersebar di media, maklumat murid yang sentiasa ada dalam sistem sekolah dikatakan bocor dan diperoleh orang awam dan pihak yang tidak sepatutnya boleh mengakses maklumat itu, katanya.

Beliau berkata, setakat ini Kementerian Pendidikan belum mempunyai data lengkap mengenai jumlah pelajar, jumlah sekolah yang terbabit dalam isu kebocoran maklumat atau sama ada semua data itu dijual oleh pihak tertentu.

Ditanya sama ada maklumat dan data pelajar itu bocor kepada pihak institusi pengajian tinggi swasta, beliau menjawab: “Boleh jadi.”

Abdullah berkata, sehingga kini tidak ada ibu bapa yang membuat laporan rasmi kepada Kementerian Pendidikan berhubung kebocoran yang didakwa dan maklumat diperoleh adalah melalui laporan media sahaja.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan polis akan menyiasat sama ada ia berlaku kerana sistem digodam atau maklumat itu benar-benar dijual kepada pihak luar.

Media baru-baru ini melaporkan maklumat peribadi kira-kira 300,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dianggap sulit dibeli dengan mudah oleh institusi pengajian tinggi swasta untuk tujuan pemasaran.

Antara maklumat sulit yang diperoleh termasuk nama pelajar dan nombor kad pengenalan. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian