Generasi muda fasih baca, hafaz Quran akan dibantu kerajaan: Exco Perak

bacaquran

IPOH, Khamis — Kerajaan Perak bersedia memberi peluang kepada generasi muda yang fasih membaca dan menghafaz al-Quran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Perak, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Beliau berkata ini kerana usaha menghafal 30 juzuk al-Quran bukan satu perkara yang mudah dan amat merugikan jika kemahiran yang ada pada mereka tidak diketengahkan.

“Mereka ini merupakan modal insan yang ada di negara dan kita amat menghargai kemahiran mereka. Kita akan cuba membantu mereka ini dari segi prasarana (bantuan pelajaran) selepas ini.

“Apabila kita bantu, secara tidak langsung ia akan memberi motivasi kepada generasi muda yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menghafaz al-Quran peringkat negeri di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) Datuk Mohd Yusop Husin.

Sementara itu, bagi kategori juzuk 1 hingga 30, johan disandang oleh Muhammad Hanzalah Ahmad Shukri manakala johan hafizah pula dirangkul Nurul Hidayah Baharudin.

Kedua-dua mereka membawa pulang wang tunai RM8,000 berserta pakej mengerjakan haji, piala, sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Ketika ditemui pemberita, Muhammad Hanzalah, 18, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada guru dan ibu bapanya yang banyak memberi sokongan kepadanya selama ini.

“Ini merupakan kemenangan kali kedua buat saya dan kemenangan yang saya peroleh ingin saya kongsi bersama keluarga tersayang,” katanya.

Beliau yang belajar di Sekolah Tahfiz Lake View, Taiping yang telah 100 kali khatam al-Quran berkata rahsia kemenangannya itu iaitu membaca al-Quran setiap hari serta mengamalkan makanan sunnah.

Anak keenam daripada 12 beradik itu bercita-cita untuk menjadi seorang ustaz suatu hari nanti.

Majlis hafazan kali ini mempertandingkan tiga kategori lelaki dan wanita mengikut tahap, iaitu tahap 1 melibatkan juzuk 1-10, tahap 2 (Juzuk 1-20) dan tahap tiga (Juzuk 1-30).

Sebanyak 158 peserta dari seluruh Perak menyertai pertandingan berkenaan.— Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian