Giliran Bahrain putus hubungan diplomatik dengan Iran
MANAMA, Isnin – Selepas Arab Saudi mengumumkan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Syiah Iran, kini Bahrain pula mengambil pendirian sama.
Pendirian itu disampaikan oleh Menteri Penerangan Bahrain, Isa Al-Hamadi hari ini, lapor agensi berita Bahrain (BNA).
“Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dengan Republik Iran dan meminta semua pegawai diplomat Iran keluar dari negara ini dalam tempoh 48 jam,” katanya.
Semalam, Arab Saudi memutuskan hubungan dengan Iran berikutan keganasan yang dilakukan terhadap bangunan kedutaan Arab Saudi di Tehran setelah ulama Syiah warga Iran, Nimr Al-Nimr dihukum bunuh.
Bangunan konsulat Arab Saudi yang terletak di bandar Mashhad, di utara Iran juga telah diserang dengan balingan batu dan bom molotov.
Al-Hamadi berkata, Iran telah melampau dengan masuk campur urusan dalaman negara-negara Arab dan negara teluk.
“Serangan ke atas kedutaan Arab Saudi amat berbahaya dan polisi mazhab yang teruk ini perlu ditentang bagi mengembalikan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya.
Bahrain mempunyai majoriti penduduk Syiah tetapi diperintah oleh pemimpin Ahli Sunnah. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan