Henti kaitkan Islam dengan keganasan: PAS

takiri

BANGI, Jumaat – Dewan Ulamak PAS gesa supaya tidak mengaitkan Islam dengan mana-mana insiden keganasan walaupun ia mungkin mempunyai kaitan dengan kumpulan tertentu yang menyalahgunakan nama Islam.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata Islam tidak menganjurkan sebarang bentuk keganasan apatah lagi untuk menaja perbuatan terkutuk tersebut yang ditolak oleh nilai kemanusiaan sejagat.

“Salah lapor dalam media akan memberikan paradigma yang salah terhadap Islam khususnya dalam kalangan bukan Islam dan menyebabkan kita terperangkap dengan permusuhan terhadap Islam yang sengaja ditaja oleh pihak-pihak tertentu.

“Islam jelas sekali mengutamakan dan menekankan keamanan dan perdamaian sebagai kunci kesejahteraan sesama manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas siri kejadian enam letupan di sekitar kawasan Sarinah, Jalan MH Thamrin, Jakarta, Indonesia semalam yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang awam.

Menurut laporan media tempatan, letupan pertama berlaku pukul 10 pagi waktu tempatan dan letupan kedua berlaku pada jam 10.50 pagi manakala ketiga berlaku enam minit kemudian.

Letupan keempat terjadi pada jam 11 pagi, diikuti dengan ledakan kelima dan keenam tidak lama kemudian.

Dalam kenyataan yang sama, Dewan Ulamak PAS juga mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Indonesia khususnya kepada ahli keluarga mangsa yang maut dan tercedera dalam insiden pengeboman di Jakarta semalam.

“Semoga Allah membalas terhadap pelaku keganasan ini dengan hukuman yang setimpal,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya berharap agar Kementerian Dalam Negeri serta semua agensi keselamatan di bawahnya berganding bahu untuk memastikan semua aspek bagi menjamin keselamatan negara ini berada pada tahap yang terbaik.

“Kerjasama keselamatan dengan negara-negara Asean juga mesti ditingkatkan khususnya pada aspek risikan.

“Ia bagi membolehkan sebarang maklumat berkenaan ancaman dan aktiviti keganasan dapat dikongsi secara pantas dan bersepadu agar tindakan berkesan dapat dilakukan untuk membendung insiden keganasan ini,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian