Insiden Selayang Bukti Ancaman Kristianisasi

download

TAHUN 2015 menutup tirai dengan satu isu yang seolah-olah mendengar rintihan golongan Islamis di Malaysia yang dahagakan penguatkuasaan undang-undang dan pendedahan terhadap agenda tersirat golongan evangelis Kristian.

Awal Disember yang lalu, negara kita kecoh dengan penganjuran Seminar Ancaman Gerakan Kristianisasi yang dianjurkan di UiTM dan dihadiri oleh wakil PDRM. Bagi golongan liberalis, evangelis dan pembangkang pro-Kristianisasi, tentu sekali mengkritik penganjuran ini yang dilihat boleh membunuh dua ekor burung dengan sebiji batu, tapi dalam isu ini, tiga ekor burung.

Kerana apa? Kerana ia melibatkan perihal ancaman gerakan kristianisasi yang kononnya dimomokkan dalam kalangan umat Islam, dianjurkan oleh UiTM yang merupakan institusi bumiputera atau majoritinya Melayu dan Muslim, dan dihadiri oleh wakil PDRM selaku sebuah badan kerajaan yang kononnya mendukung penganjuran tersebut.

Apa yang puak-puak tersebut akan dapat? Umat Islam akan hilang kepercayaan dan bersikap sambil lewa kepada pendedahan ancaman kristianisasi yang cuba diusahakan, institusi UiTM akan tercemar dan diburukkan reputasinya sebagai institusi yang rasis, serta pihak kerajaan akan dipersoalkan kerana seolah-olah mempromosi agama Islam dan mendukung kononnya pemecahbelahan keharmonian rakyat berbilang agama.

Usah terikut perasaan dan terkesima akal fikiran dengan hujahan-hujahan tidak berasas mereka, kerana dalam bulan yang sama Allah ingin tunjukkan apa sebenarnya tujuan mereka dan agenda yang ingin didiamkan.

Itulah agenda gerakan kristianisasi. Ia adalah satu perancangan yang tersusun, berobjektif, berbekal bahan dan terbitan serta mensasarkan orang Melayu Muslim, bukan khususnya tetapi Melayu Muslim sahaja.

Insiden di Selayang melibatkan Puteri Balqisha yang berkongsi pengalaman didekati oleh dua wanita yang berbicara mengenai Tuhan Yesus (Isa) dan syurga menjadi saksi dan testimoni kepada segala tohmahan yang cuba dibaling oleh puak liberalis, evangelis dan pembangkang yang pro-Kristianisasi. Tohmahan yang cuba dipalit kepada golongan Islamis serta penganjuran seminar tersebut juga lemah.

Pertama, nama seminar itu sendiri membezakan antara interaksi sosial di antara orang Kristian dan Muslim dengan sesuatu usaha atau tindakan yang dibuat berasaskan suatu gerakan. Mereka tidak mampu membezakan, maka insiden di Selayang menjadi saksi dan testimoni apakah gerakan yang golongan Islamis maksudkan.

Agak mengejutkan, tiada pun bunyi-bunyi puak liberalis, Evangelis dan pro-Kristianisasi yang heboh mengenai seminar sebelum ini yang mahu mempertahankan dua orang wanita Kristian itu. Rupanya sudah terbuka tembelang, maka elok diam sahaja. Sudah baling batu pandai pula sembunyikan tangan.

Kedua, ada yang mengatakan bahawa tujuan seminar itu dianjurkan adalah untuk mewujudkan rasa prasangka atau kebencian terhadap sahabat, jiran tetangga bahkan orang umum yang beragama Kristian. Namun, tohmahan ini hanya berasaskan kepada tajuk seminar dan rata-rata individu yang mengkritik penganjuran tersebut tidak hadir pun semasa seminar itu berjalan dan tidak mendengar sendiri apakah mesej sebenar yang disampaikan. Testimoni negatif yang hanya 1% sahaja diuar-uarkan untuk mengalih tumpuan.

Ini serupa seperti tindakan seorang ahli DAP yang pernah tersilap langkah mengkritik khutbah jumaat yang kononnya mendiskriminasi wanita padahal kandungan khutbah tersebut yang sebenar tidak langsung mencadangkan sedemikian.

Ketiga, ada juga dari kalangan umat Islam sendiri yang mengutuk penganjuran tersebut kononnya mempersoalkan apakah lemah sangat iman orang Islam sekarang. Respon pertama adalah, ya, iman orang Islam sekarang lemah, buktinya gejala sosial padat dengan belia dan pemuda Muslim. Respon kedua adalah, jikalaupun iman orang Islam tidak lemah, apakah tidak perlu umat Islam ini diperingatkan akan ancaman-ancaman yang ada? Sedangkan Allah juga sentiasa memperingatkan manusia akan seksa neraka, jangan buat itu ini dan lain-lain amaran, peringatan dan motivasi untuk hambaNya. Maka, adakah Allah tidak memandang hambaNya lemah?

Puteri Balqisha sendiri mengakui bahawa dia tidak punyai ilmu dan iman yang kuat, maka dia cepat-cepat beredar dari tempat tersebut dan dia menyatakan kegusaran sekiranya dua wanita tersebut mendekati orang Islam lain yang lemah imannya.

Sebagai seorang individu Muslim yang sensitif dan berwaspada, seharusnya kita memandang serius insiden ini kerana ia berlaku di kawasan awam yang kita tidak sangka akan berlaku. Ia boleh berlaku kepada diri kita, keluarga kita, rakan-rakan kita, jiran tetangga, atau sesiapa sahaja yang berkongsi syahadah dengan kita.

Satu insiden di Selayang ini membukakan mata kita golongan Islamis, namun bagaimana dengan usaha atau gerakan yang masih terselindung dan tidak dihebahkan kepada orang ramai? Sama-sama kita fikirkan demi kedaulatan Islam, Perlembagaan dan enakmen negeri serta masa depan umat Islam generasi seterusnya kerana usaha kecil hari ini, sedikit-sedikit akan menjadi gencar dan mustahil untuk dibendung.

Danial Ariff Bin Shaari (LLB Hons)
I-Peguam

Artikel ini telah disiarkan di laman web rasmi Isma www.isma.org.my

ARTIKEL BERKAITAN: 
Kristianisasi: Dua pelancong asing langgar undang-undang

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian