Kelantan bakal bina hotel konsep syariah
KOTA BHARU, Isnin – Seiring jolokan negeri Serambi Makkah, Kelantan bakal membina sebuah hotel bertaraf tiga bintang yang menepati syariah Islam tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebelum ini sudah ada hotel berkonsepkan sedemikian, seperti Hotel Al-Qasar tetapi tidak diperkasakan.
Justeru, pengurusan hotel yang ingin dibina ini bakal berkonsepkan Islam keseluruhannya.
“Hotel yang ada di Kelantan sudah mempunyai asas Islam dari segi pengurusan dapur dan makanan halal yang dinilai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheik).
“Kali ini, kita hidangkan muzik ringan berbentuk ghazal dan nasyid, selain mengadakan tilawah al-Quran secara perlahan ketika hampir waktu solat, berpakaian sopan dan sentiasa memberi maklumat perlu kepada orang Islam,” katanya, pada Majlis Penyampaian Watikah dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) semalam.
Menurutnya lagi, pihaknya sudah mengenal pasti lokasi bersesuaian di Kota Bharu untuk pembinaan hotel yang mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan negeri.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ab Fattah Mahmood dan Yang Dipertua MPBK-BRI, Zamri Ismail.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan