Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia seru dunia tamatkan krisis di Madaya, Syria

madaya syria mati
DOHA, Sabtu – Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia menyeru semua pihak agar menjalankan peranan masing-masing bagi menyelesaikan krisis yang dihadapi penduduk di Madaya, Syria.

Dalam satu kenyataan bertarikh 7 Januari, Setiausaha Agungnya, Dr Ali Muhyiddin Al-Qurah Daghi berkata, lebih 40,000 penduduk Madaya dihimpit kesukaran hidup akibat kepungan yang dilakukan oleh Hizbullah dan regim Bashar.

BACA: Penduduk Madaya di Syria mati kebuluran

Beliau juga menyeru pemimpin dunia agar campur tangan bagi menamatkan kepungan seterusnya membolehkan bantuan makanan dan perubatan sampai kepada mangsa kezaliman ini.

Katanya, keadaan ini telah menyebabkan ramai daripada mereka telah meninggal dunia, manakala yang hidup bergantung kepada daun-daun pokok dan kucing sebagai makanan.

ali muhyiddin qurah daghi

Berikut adalah kenyataan penuh Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia yang diterjemah oleh Ismaweb:

Surat terbuka Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia kepada semua ulama, pemimpin negara, pertubuhan dan umat seluruhnya

Kepada semua yang dihormati lagi dikasihi,
Kepada semua yang memiliki jiwa kemanusiaan…

Pihak Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia mengucapkan jutaan terima kasih dan mendoakan kebaikan kepada anda semua.

Sudah pasti anda semua mengikuti perkembangan terkini yang berlaku di bandar Madaya, Syria di mana di sana terdapat lebih 40,000 orang, kebanyakannya masyarakat awam.

Mereka telah dikepung oleh Hizbullah dan regim Bashar. Kebanyakan mereka datang dari daerah-daerah sekitarnya.

Mereka telah mendapat bantuan daripada Persatuan Bulan Sabit Merah dan UNHCR pada dua bulan lalu. Setiap keluarga hanya mendapat satu bungkusan makanan. Keadaan ini memaksa mereka memakan dedaun pokok dan juga kucing.

Baru-baru ini, gambar-gambar yang menceritakan keperitan yang dialami penduduk Madaya telah tersebar luas di media sosial.

Kelaparan melampau jelas kelihatan pada tubuh kurus kering kanak-kanak dan orang tua yang hampir-hampir menemui kematian. Mereka akan mati jika keadaan ini berterusan, tambahan pula musim sejuk telah datang menjelma.

Sedangkan tiada apa-apa bantuan datang menyahut panggilan mereka!

Semua ini berlaku dalam keadaan seluruh dunia melihat dan mendengar, namun masyarakat dan pertubuhan-pertubuhan dunia belum mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah mereka.

Wahai pemimpin yang mulia,
Wahai mereka yang memiliki sifat kemanusiaan…

Sesungguhnya mereka adalah saudara seakidah kalian, juga saudara dalam hubungan kemanusiaan.

Di Syria, ribuan mereka menghadapi kematian setiap hari disebabkan kebuluran dan kesejukan, hujan dan salji, dan kepungan yang menyakitkan.

Krisis Madaya adalah krisis yang memalukan bagi mereka yang menjadi penyebabnya.

Akan tetapi, kita semua juga bertanggungjawab terhadap setiap nyawa yang melayang.

Sabda baginda Nabi SAW, “Mana-mana orang berpagi-pagian (dalam keadaan kenyang) manakala wujud orang lapar di kalangan mereka, orang itu tidak akan mendapat lindungan Allah.”

Mereka yang memiliki jawatan besar mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk menyelamatkan mereka, begitu juga bagi mereka yang memiliki kekayaan perlu bersedekah. Mereka yang ada pena dan ahli fikir, perlu mempertahankan hak penduduk Madaya.

Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia menyeru semua pihak terlibat dalam menyelesaikan krisis ini, berusaha memecahkan kepungan sehingga bantuan makanan dan ubatan boleh sampai kepada mereka.

Apa yang berlaku ini adalah jenayah besar dalam sudut kemanusiaan.

Lakukanlah apa yang termampu dalam membantu mereka yang ditindas dan dizalimi.

Dr Ali Muhyiddin Al-Qurah Daghi
Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia
7 Januari 2016

Sumber

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian