KLS2016 – “Tiada masa untuk buang masa”

Rusydi2

Oleh: Mohd Shafiq Azmi

JOHOR BAHRU, 10 Jan – Mahasiswa harus bijak mengurus masa dan sentiasa merancang perkara-perkara yang bermanfaat seperti mengasah bakat dan meningkatkan kemahiran.

Amat rugi sekiranya mahasiswa tidak mengambil peluang ketika di universiti untuk belajar bercakap di hadapan orang ramai (public speaking), bina kemahiran perhubungan awam (public relation), belajar berurusan dengan orang lain, asah bakat kepimpinan (leadership) dan menambah kemahiran-kemahiran yang lain kerana ini diperlukan ketika tamat alam kampus.

Menurut Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Johor, Saudara Muhammad Rusydi Muhammad Razif, bagi meningkatkan bakat dan kemahiran untuk menjadi seorang Muslim yang serba boleh, seseorang mahasiswa itu perlu menyertai aktivisme-aktivisme di luar kelas disamping memastikan kecemerlangan akademik tidak ditinggalkan.

“Sebagai analogi, seorang pelajar kejuruteraan perlu menghadiri kuliah, ambil peperiksaan, menyiapkan projek, kerja-kerja makmal dan sebagainya untuk membentuk seorang jurutera yang bagus.

“Begitu juga dalam kehidupan, untuk menjadi seorang Muslim yang boleh memberi manfaat pada ummah, kita perlu meningkatkan ilmu, menambah kefahaman, belajar public speaking, public relation, leadership dan sebagainya. Dan ini hanya dapat diperoleh dengan menyertai aktivisme luar kelas.

Bercakap mengenai aktivisme dan pengurusan masa, Rusydi yang sedang melanjutkan pelajaran dalam ijazah kedoktoran berkata, merancang dan melaksanakan apa yang dirancang adalah perkara yang sangat penting.

“Tiada masa untuk buang masa. Sentiasa merancang masa anda dan uruskannnya dengan baik. Sekiranya kita gagal merancang, sebenarnya kita merancang untuk gagal sepertimana dalam peribahasa Inggeris, “if you fail to plan, you plan to fail”,” ujar beliau dalam sesi forum ‘Survival Kampus’ Karnival Lepasan Sekolah (KLS) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), semalam.

Mengakhiri sesi forum tersebut, tokoh muda itu berkongsi dua hadis yang dijadikan pegangannya dalam memotivasikan diri untuk terus belajar dan mendisiplinkan diri dengan tidak menangguh kerja seperti yang berikut:

“Mencari ilmu adalah fardhu ke atas setiap muslim “(Hadis riwayat Ibnu Majah).

“Apabila kamu berpetang-petang janganlah kamu menunggu waktu pagi, dan apabila kamu berpagi-pagi maka janganlah tunggu waktu petang dan pergunakan masa sihat mu sebelum sakit mu dan masa hidup mu sebelum mati mu…” (Hadis riwayat Bukhari).

KLS16jb31

KLS merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Kelab Remaja ISMA (KRIM) di seluruh negara bertujuan mendedahkan pelajar-pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM dengan persediaan memasuki alam kampus seperti tips temuduga dan biasiswa, motivasi hala tuju selepas sekolah, pameran kerjaya, forum ‘Survival Kampus’ dan pelbagai lagi aktiviti yang sarat dengan info dan maklumat yang berkaitan.

Program ini bermula pada 9 Januari 2016 dan akan berakhir pada 30 Januari 2016. Maklumat lanjut mengenai KLS boleh didapati di laman facebook ‘Xpresi Remaja KRIM’.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian