Lima tahun hirup udara debu bijih besi, bauksit

isu bauksit di kuantan 4

KUANTAN, Rabu – Nasib 600 penduduk Kampung Selamat di sini ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kerana sejak lima tahun lepas, mereka terpaksa menghidup udara yang dipenuhi dengan debu bijih besi dan kini bauksit.
 
Ketua kampung, Manap Muda, 64, berkata sebelum isu bauksit menjadi hangat pada hujung 2014, penduduk kampung terlebih dahulu berhadapan dengan debu bijih besi yang dilombong sekitar Kuantan dan dihantar ke pelabuhan melalui jalan utama kampung itu.
 
“Lima tahun lepas kami hirup udara penuh dengan debu bijih besi, pada masa itu pelbagai bantahan dan demonstrasi kami lakukan termasuk menghantar memorandum kepada pihak berkuasa, tetapi tiada tindakan.
 
“Kini, setelah tiada lagi aktiviti perlombongan bijih besi, bauksit pula mengambil alih dan kami sekali lagi berhadapan dengan situasi yang sama,” katanya kepada Bernama.
 
Manap berkata ekoran debu bijih besi itu juga, cucunya, Siti Nur Mia Qaisara Rosdi yang ketika itu baru berusia 2 tahun menghidap jangkitan kuman pada paru-paru.
 
Menantunya, Rosdi, ayah kepada Siti Nur Mia Qaisara bimbang kesihatan anaknya akan terjejas lagi akibat debu bijih bauksit pula.
 
Manap berkata akibat kelantangannya menyuarakan bantahan demi bantahan kepada lori-lori yang mengangkut bijih bauksit sehingga mencemarkan alam sekitar, beliau turut menerima beberapa ugutan menerusi panggilan telefon beberapa bulan lepas.
 
“Ikutkan hati saya perlombongan bauksit ini perlu dihentikan terus, tetapi jika perlu juga, saya harap mereka (pemandu lori bauksit) akan ikut prosedur pengangkutan bauksit dengan betul seperti jangan bawa laju dan bersihkan dahulu lori sebelum memulakan perjalanan,” katanya.
 
Beliau juga bersyukur apabila kerajaan mengenakan moratarium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit selama tiga bulan bermula Jumaat ini kerana selama tempoh itu, penduduk kampung akan dapat menghirup udara segar tanpa debu bijih.
 
Namun, beliau turut melahirkan kebimbangan sekiranya tempoh tersebut tamat, keadaan akan kembali berdebu sekiranya tiada penguatkuasaan dan pemantauan sepenuhnya.
 
Manap turut mencadangkan agar kerajaan turun padang dan mendengar pendapat penduduk kampung yang terlibat secara langsung dengan kesan pencemaran akibat perlombongan bauksit sebelum mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani isu itu.
 
Katanya, penduduk Kampung Selamat ingin mengetahui terlebih dahulu sama ada SOP yang bakal dikeluarkan tiga bulan lagi akan mengakhiri penderitaan mereka.- Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian