Low Yat: Tidak ada barang diserahkan pada polis, mahkamah diberitahu

low-yat
KUALA LUMPUR, Khamis – Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini tiada barang diserahkan kepadanya ketika beliau tiba di bilik pengawal keselamatan Plaza Low Yat untuk membawa tertuduh, yang didakwa mencuri sebuah telefon bimbit, ke balai polis.

Anggota Peronda, Unit Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Lans Koperal Constans David Sengkar berkata ketua keselamatan Plaza Low Yat iaitu Kamarudin Sharif hanya memaklumkan tertuduh, Shahrul Anuar Abdul Aziz, mencuri sebuah telefon bimbit di plaza itu, tetapi tidak ada barangan diserahkan kepadanya.

Saksi keenam yang berkhidmat selama 11 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menjelaskan beliau mengetahui mengenai jenis telefon bimbit yang hilang iaitu Lenovo S860 berwarna hitam selepas dimaklumkan oleh Kamarudin.

“Pada 11 Julai 2015, saya bersama Lans Koperal Farid Amrah terima arahan daripada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi bahawa ada tangkapan orang awam curi telefon.

“Kami terus menghala ke bilik keselamatan Plaza Low Yat. Setelah sampai, kami berjumpa Kamarudin dan pengadu See Ming Ho, setelah itu Kamarudin menjelaskan tertuduh telah mencuri telefon bimbit,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya R.Siamalah.

Constans David berkata setelah Kamarudin selesai menjelaskan kepadanya mengenai kejadian itu, beliau dan Farid membawa tertuduh ke Balai Polis Tun H.S.

Lee untuk membuat satu laporan polis mengenai kes tersebut.

“Setelah selesai membuat laporan, saya dan Farid bawa tertuduh ke IPD Dang Wangi untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat,” katanya.

Shahrul Anuar, 22, didakwa mencuri telefon bimbit berharga RM800 di Techasia Boutique, Plaza Low Yat, Bukit Bintang pada 4.47 petang, 11 Julai tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, Mohammad Yahya Zakaria dan Ihsan Busyro Zakaria.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor bersambung esok. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian