Mahasiswa perlu mahir urus kewangan: Pembina
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, Khamis – Presiden Persatuan Pembina Islam Nasional (PEMBINA), Ustaz Ibrahim Mohd Hasan Al Hafiz berkata, mahasiswa perlu dibekalkan dengan kemahiran pengurusan kewangan sendiri agar ia mampu untuk berdikari.
“Menjadi masalah kepada kita ialah ketidakmampuan mahasiswa menguruskan kewangan sendiri sekiranya terikut dengan peredaran zaman yang menjadikan materialistik sebagai ukuran status sosial.
“Sikap berjimat cermat dan mengharungi kehidupan susah ini diharap dapat membentuk karakter hebat mahasiswa seperti belian yang terhasil dari tekanan yang paling keras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ustaz Ibrahim berkata, pengupayaan mahasiswa penting agar mereka mampu mandiri dan tidak hanya bergantung kepada pihak lain.
“Ini mampu dicapai sekiranya mahasiswa mampu mewujudkan koperasi sendiri yang unggul dan mampu berdikari bagi membayar keperluan pelajar seperti serta menjana pendapatan.
“Universiti percuma yang diperjuangkan oleh aktivis siswa adalah satu perkara yang terlalu idealistik namun mengurangkan kos pembelajaran dilihat satu pilihan yang boleh dilaksanakan dengan komitmen dari semua pihak,” kata Ustaz Ibrahim.
Menurutnya, PEMBINA turut ingin bersama-sama universiti dalam usaha membina jaringan kewangan yang mampan.
Antara usaha yang ingin dilakukan adalah memperkukuhkan dana zakat dan aset wakaf, mempatenkan produk akhir tahun pelajar yang mampu dijual ke pasaran, membentuk persatuan alumni yang mantap dan mampu menyumbang semula kepada universiti serta membina hubungan universiti–industri bagi pembangunan kualiti universiti serta menarik pelabur global untuk melabur di universiti.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan