MAIJ hasrat capai sasaran sifar asnaf tahun ini

noh-gadutLEDANG, Selasa – Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) berhasrat mencapai sasaran sifar asnaf (penerima wang zakat) yang tercicir daripada senarai mereka yang layak di negeri ini bermula tahun ini.  

Penasihat MAIJ, Datuk Noh Gadot berkata bagi menjayakan sasaran itu, semua kakitangan MAIJ termasuk kadi dan ketua kampung diminta terlibat sama mengenal pasti mereka yang layak untuk menerima wang zakat.

“Pihak majlis (MAIJ) menerusi Program Jejak Asnaf akan mencari dan membantu seramai mana golongan asnaf di negeri Johor agar tidak ada yang tercicir dalam pengagihan wang zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menyertai Program Jejak Asnaf MAIJ di daerah Ledang di Kampung Parit Dua, Sagil yang membabitkan 35 buah rumah di sini hari ini.

Noh berkata sebagai ahli majlis adalah menjadi tanggungjawab dirinya untuk memastikan bahawa semua kutipan wang zakat diagihkan kepada saluran yang betul.

“Kita tidak mahu ada golongan asnaf yang tertinggal daripada menerima bantuan ini.

Justeru itu, kita mahu semua pihak termasuk pemimpin setempat menyalurkan maklumat kepada MAIJ sekiranya terdapat golongan asnaf yang perlu mendapatkan bantuan. Insya-Allah kita tiada masalah untuk datang membantu,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Sharuddin Mohd Tahir, 46, berkata beliau bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh MAIJ bagi menampung perbelanjan kos membeli lampin pakai buang dan susu dua anak lelakinya yang mengalami masalah pembelajaran.

“Sebelum ini saya membelanjakan RM450 sebulan untuk membeli lampin pakai buang tidak termasuk kos susu sedangkan jumlah pendapatan bulanan sebagai pemandu tidak seberapa,” katanya.

Bapa kepada tiga orang anak dari Kampung Parit Dua, Sagil itu berkata masalah kewangan bagi menampung kos pengangkutan yang tinggi menyebabkan beliau terpaksa menangguh pelajaran dua anaknya lelakinya yang masing-masing berusia 14 dan 13 tahun ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang terletak di Muar.

“Saya harap dengan bantuan daripada MAIJ nanti, kedua-dua anak saya dapat belajar di PDK untuk masa depan mereka,” katanya. -Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?