Melaka: Antara pemuda, vape, ratu cantik dan Islam

melaka‘Pemuda tonggak kepimpinan masa depan negara’, itulah laungan kata-kata pemimpin hari ini buat generasi pemuda hari ini. Namun adakah ianya menjadi inspirasi ataupun ayat basi buat generasi yang mendengarnya?

Pembukaan tahun 2016 dimulakan dengan berita yang menggembirakan buat golongan yang amat menyayangi masa depan pemuda hari ini khususnya pemuda Islam yang berbangsa Melayu di Melaka apabila Ketua Menteri yang juga merupakan Presiden ‘World Youth Organisation’ mengisytiharkan bahawa Kerajaan Negeri Melaka mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape di negeri Melaka.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengharamkan penggunaan vape di kalangan umat Islam yang terbukti memudaratkan kesihatan dan cara hidup masyarakat khususnya kepada golongan pemuda dan remaja. Tahniah atas langkah terpuji yang diambil oleh Kerajaan Negeri Melaka apabila melakukan tindakan yang sewajarnya.

Namun, cahaya kegembiraan masyarakat atas keputusan Kerajaan Negeri Melaka kembali menjadi pudar dan meresahkan jiwa apabila hari ini Kerajaan Negeri dengan terbukanya mempromosikan penganjuran Pertandingan Ratu Cantik sebagai salah satu strategi untuk mempromosikan negeri Melaka kepada Dunia. Apatah lagi pertandingan maksiat seperti itu sudah pasti mengesani jiwa pemuda di Melaka dan dibimbangi menjadi salah satu faktor besar yang menyebabkan kegiatan maksiat semakin berleluasa dan meruncing.

Justeru, semua pihak termasuk Kerajaan Negeri khususnya Ketua Menteri yang juga ketua Agama Islam di Negeri Melaka sewajarnya bermuhasabah dan kembali insaf terhadap apa yang telah dilakukan dan berubah kembali kepada kehendak kemuliaan Islam dalam memimpin serta menjadi tauladan khususnya kepada generasi pemuda hari ini agar mereka dapat mengikuti tauladan kepimpinan Ketua Menteri sebagai seorang yang benar-benar berkeperibadian mulia dalam membina dan membentuk generasi pemuda kerana dalam sebuah hadis, Rasulullah menyatakan yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah mengkagumi pemuda-pemuda yang tiada baginya sebarang kerosakan moral.” ( Riwayat Ahmad dan Abu Yu’la)

Wahai para Pemimpin golongan pemuda, marilah sama-sama kita sentiasa menjaga ketaqwaan kepada Allah dalam melaksanakan segala urusan kita apatah lagi jika ianya melibatkan urusan umat kerana kepimpinan itu akan dipertanggungjawabkan kepada Allah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud; “Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim).

Jadilah pemimpin yang sentiasa menjadi inspirasi tauladan kepada umat agar sentiasa hidup mulia di sisi Allah.

Muhammad Zul Bin Mohd
Ahli Jawatankuasa,
PEMUDA ISMA Melaka.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian