Melaka tidak perlu ratu cantik

image-9-8

“Ratu cantik..sana, ratu cantik..sini.., promosi pelancongan..sana, Pertandingan Ratu Pelancongan Dunia ..sini ” Begitulah bunyi perbualan yang masih menjadi buah mulut rakyat Malaysia ketika ini, walaupun isu ini sudah berlalu lebih seminggu. Mungkin ada di kalangan kita sudah sejuk dengan isu ini kerana di sana ada berita lain yang lebih sensasi di dada akhbar.

Sebagai seorang Muslim, yang sentiasa ingin melihat Islam terus tertegak di bumi Malaysia , saya merasa terpanggil untuk memberi pandangan dalam isu ini. Amat terkilan setelah mengetahui Melaka terlibat dalam penganjuran Pertandingan Ratu Pelancongan Dunia.

Satu penganjuran program yang tidak bermanfaat sekaligus melalaikan umat Islam serta menghakis budaya ketimuran kita. Adakah objektif atau matlamat untuk mempromosikan pelancongan negeri Melaka Bandaraya Bersejarah sebenarnya tercapai setelah mengenepikan hukum syariat Islam? Ke mana hilangnya sensitiviti umat Islam apabila program maksiat dijadikan alat sebagai tarikan pelancong ? Kenapa tiba- tiba ratu cantik pula yang dilantik sebagai duta promosi?

Saya ingin membawa pembaca mengimbau kembali sejarah kegemilangan Melayu Melaka pada satu ketika dahulu. Tidak ada satu pun dari mana-mana catatan sejarah yang menafikan kegemilangan Melaka sebagai Pusat Perdagangan terpenting di Asia Tenggara pada awal abad ke-15 Masihi. Terdapat banyak faktor kemunculannya sebagai pusat tumpuan pedagang-pedagang dari luar Selat Melaka.

Antaranya, kedudukan geografi yang strategik, pemimpin yang berwibawa, hubungan persahabatan antara Melaka dengan China, fungsi Melaka sebagai pusat entrepot serta dasar imperialisme kerajaan Melaka. Selain dari itu, pengurusan perdagangan yang cekap, kemudahan di Pelabuhan Melaka, sistem cukai yang berkeutamaan, Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca, peranan Orang Laut dan pelaksanaan Undang-Undang Laut Melaka telah dijalankan dengan jayanya di Melaka.

Ini bukan nota ringkas subjek sejarah mahupun subtopik kegemilangan Melayu Melaka yang ingin saya tonjolkan, tetapi jika diamati dengan teliti, tidak ada satu faktor pun yang boleh dianggap menggadaikan adat dan syarak sesebuah kerajaan yang berpegang pada agama. Ini bermakna Melaka mempromosikan perdagangan melalui cara yang benar, betul dan berstrategi, berbeza dengan cara yang dipilih oleh pemimpin Melaka pada hari ini. Tindakan Ketua Menteri mempromosi pelancongan melalui ratu cantik amat menyedihkan dan dikesali.

Saya masih belum sentuh faktor yang lebih penting iaitu peranan dan pengaruh agama pada masa itu. Pengislaman Parameswara telah menyebabkan ramai pedagang Islam memindahkan perdagangan mereka dari Sumatera Utara ke Melaka. Islam di Melaka telah berkembang melalui pedagang-pedagang Islam yang datang. Akhlak mulia yang ditunjukkan oleh pemimpin kerajaan Melaka serta kecekapan pembesar-pembesar Islam menjadikan urusan jual beli berjalan lancar dan aman. Statistik kedatangan para pedagang saban hari mencatatkan pertambahan.

Keadilan sistem Islam dalam urusan perniagaan dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang unsur rasuah mahupun penipuan. Inilah yang dikatakan promosi mantap, berkesan dan berstrategi.

Yakinlah, selagi kita berpegang dengan prinsip Islam dan meletakkan neraca Allah di hadapan, Allah akan sentiasa memelihara segala tindak tanduk kita dalam membuat sesuatu keputusan. Tidak perlu kita mencedok mana-mana idea yang bersifat kebaratan dan akhirnya merosakkan maruah Islam.

Firman Allah SWT, “Celupan Allah (agama Islam). Dan siapakah yang lebih baik celupannya (agamanya) daripada Allah. Dan hanya kepadaNya kami menyembah” (Surah Al-Baqarah: 138)

Di sini, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya para pemimpin agar sama-sama bertekad mengembalikan kemuliaan dan kesyumulan Islam dalam segenap kehidupan. Jadilah muslim yang sentiasa peka dengan setiap gerak-geri musuh Islam bersama agenda jahat mereka. Mereka ini tidak pernah tidur dari mengintai ruang kosong yang mampu mempengaruhi dan melenturkan pegangan aqidah umat seterusnya menghancurkan Islam itu sendiri.

Yang pasti, setiap dari kita bertanggungjawab memelihara kedaulatan Islam dari dicemar. Apakah yang akan kita jawab di hadapan Allah SWT di atas kecuaian- kecuaian yang telah kita cipta di muka bumi ini?

Ustazah Zulikha Ali
Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS)

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian