Membangkitkan sebuah umat
Empayar Rom dan Parsi tewas dan tunduk kepada kemaraan kerajaan Islam dalam lingkung lebih kurang 10 tahun selepas kewafatan Nabi s.a.w. Ini adalah fakta yang umum.
Kebangkitan suatu umat boleh sahaja mengambil masa seawal 20 ke 30 tahun untuk menjatuhkan sebuah empayar yang makin lemah. Manhaj nubuwwah (pendekatan berlandaskan sumber kenabian) terbukti menjadi satu manhaj yang amat berkesan dalam mengubah manusia dalam tempoh berkenaan.
Kafir Quraisy hidup dalam kerendahan di mata dunia. Kewujudan mereka tidak dirasakan menggugah empayar besar dunia. Sistem hidup mereka, sosial, ekonomi, teknologi, politik dan sebagainya adalah pada tahap minima dengan undang-undang tak berkualiti.
Manhaj nubuwwah telah menjadikan orang Arab mulia dengan hidup berlandaskan Islam dan ini dicapai dalam masa 23 tahun sahaja. Seterusnya perkembangan umat muslim menjangkau sehingga dua pertiga dunia yang berpenghuni. Semua ini dicapai atas dasar demi menyebarkan rahmat ke seluruh alam.
Rahmat ke seluruh alam adalah natijah setelah manusia sedar kedudukan Allah s.w.t. dan keperluan untuk hidup di bawah sistem Islam yang syumul dan sempurna lalu kembali kepada kaedah hidup beribadah kepada pencipta.
Uslub yang pelbagai digunakan untuk menyebar rahmat ke seluruh alam. Daripada pendekatan damai dan penerimaan mudah kepada kaedah keras dan memaksa ketundukan daripada pemerintah yang zalim untuk memberi ruang kepada rakyat hidup berlandaskan Islam. Semuanya diambil dengan tujuan membolehkan manusia hidup di dalam iman yang benar.
Kekalahan yang dialami Rom dan Parsi serta kuasa-kuasa lain mempunyai dua faktor yang besar. Satu adalah kebangkitan umat Islam melawan kezaliman dan jahiliyyah. Kedua adalah kelemahan kuasa besar tersebut dalam mempertahankan kedudukannya.
Kesakitan sosial Barat pada masa kini adalah tanda awal mereka akan tumbang. Namun dalam kebejatan rakyat mereka, barisan pemimpin mereka masih lagi fokus dan bersungguh-sungugh mengekalkan kedudukan mereka.
Ini berbeza dengan situasi Rom dan Parsi saat ia dijatuhkan. Pemimpin mereka sendiri masuk ke dalam kehinaan dan kehancuran. Sifat malas, tamak haloba dan hilang tumpuan dalam memimpin menyebabkan mereka kucar kacir dan mudah dikalahkan.
Justeru dalam saat ini, jika kita mengharapkan kuasa Barat dan Timur dalam hegemoninya akan jatuh hanya dengan melihat rakyat mereka semakin hancur dan kusut nilai hidup, maka kita salah dan masih dalam angan-angan.
Dua prasyarat yang perlu kita nilai dengan tepat:
- persiapan umat Islam mengikut manhaj nubuwwah dalam pembinaannya
- kelemahan millah kufur dan jahiliyyah hingga ke pemimpinnya
Dalam posisi sekarang, adalah penting untuk kita memberi fokus kepada pembinaan umat berdasarkan manhaj nubuwwah dan keluar dari angan-angan bahawa hizbu-syaitan kini sudah lemah.
Realiti sekarang seolah memaksa kita redha, bahawa kemenangan Islam bukan dalam hayat kita, tetapi kita perlu memastikan usia kita dimanfaatkan untuk menyempurna binaan umat Islam agar generasi seterusnya tidak perlu bermula dari kosong lagi.
Mohd Shahril Atiqi Mohamed Sharip
Aktivis Isma DHL
Ulasan
Catat Ulasan