Mukhriz bertegas kekal sebagai Menteri Besar Kedah

mkh

ALOR SETAR, Khamis – Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan selagi dikehendaki rakyat, beliau akan tetap meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar Kedah.

Selain menyifatkan apa yang berlaku semalam sebagai cabaran kecil dalam politik, Mukhriz berharap rakyat Kedah tabah dengan perkara tersebut.

“Setiap yang berlaku ada hikmahnya, dan saya harap rakyat Kedah bersabar,” katanya, ketika memberi ucapan terima kasih kepada ribuan penyokong yang berkumpul di luar Bangunan Tunku yang menempatkan pejabat Badan Perhubungan UMNO negeri, di sini, malam tadi.

Seorang penyokong yang hadir bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Mukhriz di Bangunan UMNO malam tadi, Fazil Mat Enda berkata, dia berasa terkejut apabila Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyatakan Mukhriz gagal mengurus tadbir kerajaan negeri secara berkesan.

“Kenyataan pihak berkenaan adalah palsu dan merupakan tohmahan untuk menjatuhkan kepimpinan Mukhriz hari ini. Saya juga menafikan bahawa Menteri Besar tidak mendapat sokongan dari UMNO Kedah hari ini.

“Pada malam ini (semalam) terbukti semua lapisan masyarakat dari pelbagai bangsa telah turun bagi memberi sokongan dan ini bercanggah dengan kenyataan yang di buat oleh pihak berkenaan,” kata Fazil, sambil menambah Menteri Besar Kedah itu sentiasa bekerja keras memajukan Kedah hingga jadual hariannya dipenuhi dengan pelbagai undangan.

Beliau juga dikatakan sering turun ke padang bagi meninjau rakyat negeri itu.

Dalam masa yang sama, seorang penyokong lainnya menuntut agar penjelasan dibuat oleh pimpinan UMNO Kedah berhubung sidang media tergempar itu yang disifatkan terlalu drastik.

Peniaga, Nor Azizi Noor, 48, berkata, sewajarnya perbincangan dibuat kalangan ketua-ketua UMNO bahagian, bukannya pengumuman mengejut tanpa menyatakan alasan kukuh.

“Mukhriz seorang menteri besar disenangi ramai, termasuk semua bangsa. Tiba-tiba mereka hilang kepercayaan terhadap beliau, sedangkan beliau tidak pernah dikaitkan dengan salah laku, rasuah atau kes negatif,” katanya.

Katanya, akar umbi mahu UMNO Kedah menyatakan apa kemelut yang berlaku sehingga tindakan itu dibuat.

Dianggarkan 1,000 orang hadir menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Mukhriz di Bangunan UMNO jam 8 malam tadi.

Penyokong turut melaungkan “Kami Nak Mukhriz dan sepanduk menyatakan sokongan terhadapnya.

Sebelum berlepas, Mukhriz sempat memberi ucapan terima kasih kepada penyokong hadir.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian