OIC kecam, tuduh Iran pencetus ketegangan di rantau Arab

oiclogo

JEDDAH, Jumaat – Beberapa anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mengadakan mesyuarat luar biasa peringkat Menteri-Menteri Luar OIC semalam, mengecam dan menuduh Iran sebagai pencetus sektarianisme dan menyokong kumpulan pengganas di rantau Teluk.

Mereka juga mengecam tindakan rakyat Iran yang menyerang Kedutaan Arab Saudi di Tehran dan Mashaad serta campur tangan negara Syiah itu dalam hal ehwal dalaman Arab Saudi, Bahrain, Yaman dan Syria.

Menteri Luar dan wakil lebih 45 daripada 56 anggota OIC semalam mengadakan mesyuarat tertutup yang berlangsung lebih empat jam selepas menerima permintaan Arab Saudi.

Dalam kenyataan pada akhir mesyuarat itu, Menteri-Menteri Luar OIC berkata, pencerobohan ke atas misi diplomatik Arab Saudi di Iran adalah satu pencabulan undang-undang antarabangsa yang merujuk kepada Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

“Tindakan pencerobohan itu bertentangan dengan piagam OIC, yang menggalakkan kepercayaan dan memupuk hubungan persahabatan, saling menghormati dan bekerjasama di kalangan negara anggota dan mengelak daripada campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota,” kata OIC.

Tanpa merujuk kepada seorang ulama Syiah yang dihukum pancung di Arab Saudi baru-baru ini, Nimr Al-Nimr, OIC menolak dan mengecam kenyataan Iran berkaitan langkah penguatkuasaan dilaksanakan Arab Saudi terhadap pengganas.

“Kenyataan ini adalah satu campur tangan secara terang terhadap hal ehwal dalaman Arab Saudi dan bertentangan dengan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), piagam OIC dan semua perjanjian antarabangsa yang meminta tiada campur tangan dalam hal ehwal negara anggota,” kata OIC.

OIC juga mengecam campur tangan Iran ke atas hal ehwal dalaman Bahrain, Yaman dan Syria serta menyokong kumpuan pengganas.

Mereka juga mengutuk agenda sektarianisme dan mazhab kerana ia merosakkan serta memberi kesan terhadap keamanan dan kestabilan negara anggota OIC.

Sehubungan itu, OIC menyeru negara anggotanya serta komuniti antarabangsa untuk memberi perhatian serius serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelak pencerobohan ke atas misi diplomatik di Iran berulang.

Menyifatkan satu tindakan kejam oleh pengganas, Menteri-Menteri Luar OIC juga mengutuk penculikan warga Qatar di Iraq. Mereka mendesak kerajaan Iraq untuk mengambil tanggungjawab memastikan keselamatan dan membebaskan mangsa culik berkenaan.

Bercakap pada mesyuarat itu, Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-jubeir berkata, tindakan Iran bertujuan menyebarkan hasutan, kekacauan dan huru-hara serta mencetus pergeseran kaum di rantau ini.

“Iran adalah punca ketidakstabilan dan peperangan di rantau ini.

“Iran yang juga anggota OIC tidak pernah menghormati piagam dan prinsip pertubuhan. Iran dengan bangga menyatakan mereka menguasai dan mengawal empat kota Arab dan mempunyai 200,000 pejuang terlatih di beberapa negara di rantau ini.

“Ini adalah bukti jelas bahawa Iran melaksanakan polisi provokasi terhadap negara jirannya dan rantau Arab,” kata Al-Jubeir.

Selepas serangan ke atas kedutaan dan konsulatnya di Tehran dan Mashaad, baru-baru ini, Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dan dagangan dengan Iran. Beberapa Negara Teluk lain turut mengambil langkah sama.

Setiausaha Agung OIC, Iyad Madani, berkata serangan ke atas kedutaan dan konsulat Arab Saudi di Iran adalah satu tindakan melanggar nilai-nilai diplomatik dan keadaan akan menjadi bertambah buruk.

Timbalan Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi yang hadir pada mesyuarat itu berkata, Iran tidak mahu berkonfrontasi dan berharap mesyuarat itu mampu membantu mereka mengurangkan ketegangan. – Agensi

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian