Pasar raya di Melaka wajib sediakan beg kertas dua bulan lagi: Ketua Menteri

paper bagMELAKA, Rabu – Semua pasar raya di negeri ini akan diwajibkan untuk menyediakan beg kertas kepada pengunjung secara percuma dalam tempoh dua bulan lagi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata pada masa ini kerajaan negeri serta agensi terlibat akan menguar-uarkan arahan berkenaan kepada semua pasar raya serta merangka pelan terbaik bagi melaksanakan dengan berkesan.

“Semestinya kertas itu lebih mesra alam daripada plastik dengan kertas memerlukan antara lima dan 10 tahun untuk terurai manakala plastik antara 300 hingga 500 tahun.

“Langkah kita kurangkan beg plastik dan gunakan beg kertas dijangka dapat mengurangkan penghasilan bahan buangan plastik sehingga lima kali ganda,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Melaka sebelum ini melarang semua pasar raya dan premis perniagaan di negeri ini menyediakan beg plastik dan bekas makanan yang diperbuat daripada bahan bukan mudah terurai, bermula 1 Jan lepas.

Sehubungan itu, Idris mengingatkan semua pengedar beg kertas, beg plastik serta bekas lain yang diperbuat daripada bahan mudah terurai supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan berkenaan dan seterusnya mengambil keuntungan secara membuta-tuli.

“Saya nasihatkan mereka jangan mencatut kerana peniaga lain akan datang dengan harga lebih baik yang akan menjejaskan mereka, jangan mainkan sentimen harga di sini,” katanya.

Beliau berkata usaha yang dilakukan kerajaan negeri dengan menghalang penggunaan plastik itu bukanlah bertujuan menyusahkan rakyat tetapi mahu mewujudkan persekitaran serta kehidupan lebih baik kepada mereka.

“Kurangnya bahan buangan plastik akan kurangkan tekanan kepada tempat pembuangan sampah kita dan alam sekitar yang kita tinggal sekarang, malah alam sekitar ini kita kena jaga untuk anak cucu kita juga,” katanya. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian