Pelajaran Daripada Penculikan Siti Aisyah

Baru-baru ini negara digemparkan dengan kisah ‘penculikan’ seorang remaja wanita berusia 14 tahun di Shah Alam. Negara kemudian digemparkan lagi dengan berita ‘penemuan’ remaja ini di Klang yang kemudiannya mengaku hanya mereka-reka kisahnya diculik untuk bersama dengan teman lelakinya yang berusia 19 tahun.

Berita dan perkembangan begini menakutkan kita. Bagaimana seorang remaja, yang hanya baru berusia 14 tahun, berani untuk melakukan perkara sedemikian? Dan kisah sebegini, bukan kali pertama berlaku dalam masyarakat dan pastinya bukan kali terakhir.

Mari kita maafkan remaja ini, beri peluang kepadanya untuk bertaubat dan kembali kepada kehidupannya yang normal. Moga apa yang telah berlaku, akan lebih mematangkan fikirannya, dan menjadikan ibu bapanya lebih berhati-hati dan untuk semua yang bergelar ibu bapa, agar lebih peka terhadap apa yang berlaku terhadap anak-anak, terutamanya anak-anak perempuan.

Tapi, bagaimana semuanya bermula? Bukan khusus kepada remaja ini sahaja, tetapi semua remaja perempuan yang bermasalah sosialnya seperti yang terlibat dengan pergaulan bebas, berkonsert, keluar ‘berdating’ dan akhirnya ada yang terjebak dengan zina yang disusuli dengan pembunuhan anak yang tidak berdosa akibat zina.

Bagaimana boleh terjadi begini sedangkan setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, bersih dan suci dari sebarang dosa?

Jawabnya adalah kelalaian ibu bapa dalam mencorakkan tarbiah anak-anak. Anak-anak akan rosak apabila ibu bapa lalai dan derhaka dalam mendidiknya. Dalam sebuah hadis yang cukup popular dalam pendidikan anak-anak, Rasulullah SAW menyebut bahawa warna pertarbiahan anak-anak dicorakkan oleh ibu bapanya. Jika ibu bapa mencorakkan anak-anak itu dengan cara hidup selain dari Islam, membiarkan anak-anak membesar dengan warna-warna tarbiah yang diinginkan oleh kaum Yahudi dan Nasara, maka mereka akan membesar dengan warna-warna ini, hidup dan ‘beriman’ dengannya sehingga remaja dan tidak mustahil, hingga dewasa.

Ketika anak kecil, tidak pernah diperkenalkan anak kepada kalimah-kalimah tauhid, bahkan, anak-anak yang masih kecil dan mempunyai ingatan seperti span, dibiarkan mendengar lagu-lagu lagha di corong radio yang tidak Islami dan dibiarkan menonton rancangan-rancangan yang merosakkan seperti Ceria Pop Stars, Idola Kecil, Akademi Fantasia, Barbie dan lain-lain.

Akhirnya anak ini tidak kenal Allah dan Al Quran, tidak kenal Nabi dan para sahabat, sebaliknya apa yang dihafaznya ketika kecil dan menjadi idolanya adalah lagu-lagu dan penyanyi-penyanyi yang mendedahkan aurat dan bergaul bebas di atas pentas tanpa batas kawalan.

Kemudian, bagi anak-anak perempuan secara khusus, tidak pernah diajar sifat malu, aurat dan batas-batas ikhtilat. Anak-anak dibiarkan keluar rumah tanpa memakai tudung walaupun telah hampir mencapai usia baligh, dibiarkan bermain dan bertepuk tampar dengan kawan-kawan berlainan jantina termasuk sepupu sepapat walaupun umur telah meningkat remaja.

Akhirnya anak ini tidak kenal sifat malu dan rasa berat hati untuk menutup aurat walaupun telah baligh. Membuka aurat dan bergaul bebas sesama jantina dirasakan biasa, hingga akhirnya jika tidak dikawal, menjadi punca anak-anak berdua-duaan dan melakukan zina dan pembunuhan.

Kemudian, ketika anak kecil, tidak pernah diperintahkan oleh ibu bapanya di rumah untuk mendirikan solat. Dibiarkan anak tidur hingga tengahari pada waktu cuti, tidur lewat untuk bermain ‘games’ dan melayari Internet hingga solat diabaikan.

Akhirnya anak membesar menjadi manusia yang malas beribadah, malas solat walaupun puasa penuh di bulan Ramadhan. Semuanya kerana ibu bapanya gagal mendidik anak untuk solat pada awal usianya.

Anak-anak akan rosak yang pertamanya adalah kerana ibu bapa, kerana ibu bapa adalah madrasah pertama dalam pendidikan anak-anak. Rosak madrasah ini, rosaklah anak-anak, baik madrasah ini, baiklah anak-anak.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebut bahawa “siapa yang mempunyai tiga anak perempuan, dan dia menjaga mereka dengan baik, memenuhi semua keperluan mereka dan menyayangi mereka, maka syurgalah balasan buatnya.”

Hadis ini memberi isyarat khusus tentang betapa besarnya peranan ibu bapa, terutamanya sang ayah sebagai ketua keluarga dalam mendidik anak perempuan. Menjaga dengan baik termasuklah mendidik anak-anak dengan kalimah tauhid dan mengajarkan anak-anak Al Quran. Termasuk menjaga dengan baik selain memberi makan minum yang cukup juga adalah menapis anasir-anasir yang boleh merosakkan anak-anak seperti hiburan yang merosakkan dan keganasan yang melampau.

Kemudian, termasuk dalam memenuhi keperluan anak-anak perempuan adalah membelikan mereka pakaian yang menutup aurat, membelikan bahan-bahan bacaan yang baik, dan dalam konteks hari ini, menyediakan ruang untuk anak-anak berhibur dan bersukan dalam batas-batas agama. Bawalah anak-anak berenang, tapi sediakan pakaian yang patuh syariah, ajar anak-anak untuk menundukkan pandangan, dan sentiasa tenang dalam apa jua keadaan.

Hadis ini juga memberi isyarat agar ibu bapa, terutamanya ayah, untuk menyayangi anak-anak perempuan dengan sepenuh hati, agar anak-anak perempuan, tidak lagi perlu mencari kasih sayang lain sebelum berkahwin selain dari kasih sayang ayahnya yang sentiasa melindunginya. Anak-anak yang hidup dalam dunia tanpa ayah yang berfungsi, berpotensi untuk membesar dalam keadaan kurang kasih sayang yang akan menjadikannya manusia yang bermasalah.

Tugas ini memang satu tugas yang perlu dihadapi dengan serius kerana ianya amat sukar, namun, jika semua ini dapat dilakukan dengan baik oleh ayah dan ibu, maka balasannya adalah syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.

hisham sharif

 

 

 

 

 

Dr Hisham Sharif
Biro Penerangan Isma Kubang Pasu

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?