Pelan khas atasi pencemaran aktiviti melombong bauksit

bauksit kuantan
KUANTAN, Ahad – Kuantan Port Consortium Sdn. Bhd. (KPC) kini menyediakan satu pelan khas bagi mengatasi masalah pencemaran alam sekitar di sini akibat aktiviti melombong bauksit.

Menyatakan demikian hari ini, Ketua Pegawai Operasi KPC, Datuk Khasbullah A Kadir berkata memandangkan saiz projek yang besar, usaha itu akan memakan masa.

Dengan terlaksananya pelan itu, kata beliau, pihaknya yakin proses pengendalian pengeksportan bauksit di kawasan pelabuhan akan lebih bersih antara 60 hingga 80 peratus berbanding sekarang.

“Ini semua dijangka dapat direalisasikan menjelang pertengahan tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini.

“Di samping itu, katanya, KPC membelanjakan RM1 juta sebulan bagi membersihkan sisa bauksit di kawasan pelabuhan.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini berhubung kawasan penyimpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan tidak diuruskan dengan baik menyebabkan air Sungai Balok dan Pantai Batu Hitam tercemar dan menjadi merah minggu lepas.

Keadaan itu telah menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk setempat dan mengancam mata pencarian nelayan.

Persatuan pencinta alam sekitar meminta kerajaan menghentikan kegiatan perlombongan tersebut.

Mengulas mengenai pencemaran luas baru-baru ini, Datuk Khasbullah berkata apabila hujan lebat, kegiatan pembersihan menggunakan mesin khas tidak dapat dilakukan.

Pekerja pembersihan pelabuhan, hanya dapat menyodok bahan tersebut di atas jalan raya untuk tidak mencemar alam sekitar.

“Ketika hujan lebat baru-baru ini, kami tidak mampu halang bahan ini daripada mengalir keluar.

“Tambahan pula jumlah bauksit yang perlu kami kendalikan adalah sangat banyak manakala timbunan bauksit tidak diletakkan setempat,” katanya.

Prosedur pada masa ini, katanya, menyukarkan pihak pelabuhan mengawal kejadian pencemaran.

Beliau meminta kerajaan negeri menyediakan satu kawasan khas untuk penyimpanan timbunan bauksit bagi memudahkan pihak pelabuhan mengendalikannya dengan lebih baik dan sistematik.

Kawasan itu difahamkan telahpun dikenalpasti dan hanya menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak sebelum ini menyatakan pihak pelabuhan telah mengambil empat langkah bagi mengatasi masalah pencemaran.

Antara langkah ialah membina struktur penghalang aliran keluar air dari kawasan penyimpanan stok bauksit.

Sistem cucian bersepadu juga dijalankan untuk membersihkan jalan raya daripada debu bauksit.

Membina laluan sehala untuk lori bauksit yang memasuki kawasan pelabuhan bagi memastikan kotoran pada tayar kenderaan itu dibersihkan sebelum keluar.

Pihak pelabuhan juga dikatakan akan turut membina struktur ‘windbreakers’ setinggi sembilan meter untuk menghalang debu-debu dari kawasan penyimpanan stok terbang ke premis sekitar pelabuhan.

Tinjauan Bernama di sekitar Pelabuhan Kuantan hari ini mendapati hanya lori satu tan yang dimuatkan dengan tangki air digunakan untuk kerja pembersihan.

Pekerja melakukan kerja itu tidak ubah seperti melepaskan ‘batuk di tangga’ apabila menyiram jalan yang tercemar dengan air bertekanan rendah.

Ini tidak mampu membersihkan kotoran merah yang tebal di atas jalan raya.

Manakala kerja-kerja pemasangan ‘windbreakers’ pula kelihatan baru bermula di salah satu kawasan penyimpanan bauksit di pelabuhan itu.

Sistem laluan sehala telah mula dilaksanakan.

Sementara itu, Pertubuhan Perlindungan Alam Semulajadi Malaysia (PEKA) Pahang meminta kerajaan negeri menghentikan terus kegiatan perlombongan itu. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian