Peluk Islam: Kesahihan sijil mesti dicabar di Mahkamah Syariah bukan mahkamah sivil

M Indra Gandhi
PUTRAJAYA, Selasa – Sama ada sijil pertukaran agama kepada Islam diperoleh dengan cara betul adalah tidak releven mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat pertimbangan mengenainya.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan bertulis membabitkan seorang wanita India M Indra Gandhi berkata, walaupun dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf dan bukannya oleh Mahkamah Syariah sendiri, kesahihan sijil itu mesti dicabar di mahkamah berkenaan.

30 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang memutuskan bahawa sijil penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mereka yang memeluk Islam, Muhd Riduan Abdullah, adalah tidak sah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Balia Yusof Wahi ketika membenarkan rayuan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan lima yang lain, turut memutuskan bahawa penukaran agama membabitkan umat Islam adalah di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi Muhd Riduan hak penjagaan ketiga-tiga anaknya – Tevin Darsiny, 17, Karan Dinish, 16, dan Prasana, 6, – selepas beliau menukarkan agama mereka daripada Hindu kepada Islam.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Ipoh kemudian mengisytiharkan bahawa perintah hak penjagaan itu adalah tidak sah dan batal kerana Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi perintah hak penjagaan apabila pihak lain (ibu) bukan beragama Islam.

Muhd Riduan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Pendaftar Pertukaran Agama, kerajaan negeri Perak, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan sijil penukaran agama kanak-kanak berkenaan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Balia Yusof dalam keputusan bertulis yang turut disokong Hakim Badariah Sahamid membuat keputusan bahawa kes itu adalah berkaitan agama dan ia adalah eksklusif di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Mahkamah Tinggi Ipoh, katanya, membuat keputusan tidak tepat untuk mengatakan bahawa penukaran agama itu dilakukan tanpa mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004.

Beliau menegaskan bahawa fakta yang menyatakan Pendaftar Mualaf mengeluarkan sijil itu bermaksud penukaran agama itu sememangnya berlaku dan Pendaftar Mualaf berpuas hati mengenainya.

Datuk Balia Yusof berkata, ianya bukan urusan Mahkamah Tinggi untuk mempertimbangkan jika seksyen dalam enakmen Perak itu telah dicabuli, yang akan menjadi penghalang kepada isu kesahihan, yang mana bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Katanya, kekurangan remidi oleh Indra Gandhi sebagai bukan Islam untuk berdepan Mahkamah Syariah tidak membolehkan Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa.

Sementara itu, Hakim Hamid Sultan Abu Backer dalam keputusan bertulisnya berkata, adalah dibolehkan penggunaan mahkamah sivil untuk mencabar kesahihan sijil itu kerana isu utamanya tidak membabitkan Mahkamah Syariah.

“Jika isu untuk membuat keputusan membabitkan muslim atau bukan muslim, bidang kuasanya tidak terikat dengan Mahkamah Syariah,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian