Pemimpin dan anggota PAS Kelantan tidak boleh sertai program melibatkan PAN

Datuk-Ahmad-YakobKOTA BAHARU, Isnin — PAS Kelantan mengeluarkan amaran kepada semua pemimpin dan anggotanya supaya tidak menyertai program yang membabitkan penyertaan Parti Amanah Negara (PAN).

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, langkah itu dibuat berikutan masih terdapat majlis tertentu terutama yang dianjurkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut melibatkan anggota PAN.

“Keputusan agar tidak terlibat dengan PAN dalam sebarang majlis telah diputuskan PAS pusat sebelum ini, namun hubungan murni tetap berlaku dengan PKR,” katanya kepada pemberita di majlis penyampaian watikah dan angkat sumpah anggota majlis bagi Majlis Perbandaran Kota Baharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI)  di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Yang Dipertua MPKB-BRI Zamri Ismail.

“Di Kelantan tidak ada kepentingan PKR bersama PAN…jadi kita minta PKR hendaklah benar-benar memahami suasana dan situasi politik di negeri ini,” katanya.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata setakat ini, kepimpinan PKR Kelantan menghormati keputusan PAS Pusat itu malah memberi perakuan untuk bersama PAS dan tidak bersama PAN.

Beliau menyerahkan keputusan kepada PAS Pusat untuk menentukan tindakan terhadap anggota dan pemimpin PAS yang ingkar dengan amaran tersebut.

Sementara itu, Ahmad berkata aktiviti menceriakan bandar akan diteruskan dengan kerjasama MPKB-BRI dan agensi kerajaan lain selain meningkatkan kebersihan bandar sempena Tahun Melawat Kelantan tahun ini.

“Kita juga dalam proses akhir menyegerakan penswastaan urusan kebersihan bandar oleh Alam Flora Sdn Bhd yang dijangka akan selesai Feb ini,” katanya.

Beliau turut memberi sokongan padu kepada MPKB-BRI dalam usaha mengumpulkan pungutan cukai berjumlah RM100 juta menjelang tahun 2020 yang akan digunakan untuk membiayai program yang membawa faedah kepada rakyat. — Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian