Petronas kurangkan belanja, potong gaji kakitangan
BANGI, Khamis – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang mengumumkan pengurangan perbelanjaan modal dan operasinya, bakal mengambil langkas drastik bagi memotong gaji kakitangannya sebanyak 20 hingga 30 peratus, selain berkemungkinan besar melaksanakan waktu kerja yang terhad.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata langkah itu antara tindakan syarikat minyak negara berikutan pengurangan perbelanjaan modal dan operasi sebanyak RM50 bilion bagi tempoh empat tahun akan datang akibat kejatuhan harga minyak.
Mengumumkannya dalam memorandum dalaman syarikat berkenaan, beliau berkata, penstrukturan semula perniagaan Petronas turut membabitkan pemotongan gaji kakitangan sebanyak 20 hingga 30 peratus untuk peringkat pengurusan atasan serta kemungkinan melaksanakan empat hari bekerja.
Petronas mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.35 bilion pada suku ketiga 2015 dengan pendapatan sebanyak RM60.06 bilion.
Nilai itu menyusut jika dibandingkan dengan keuntungan RM15.07 bilion dan pendapatan RM80.37 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya. Syarikat itu dijangka mengumumkan prestasi penuh bagi 2015 pada bulan depan.
Petronas dilaporkan hanya akan membayar dividen kepada kerajaan sebanyak RM16 bilion untuk tahun 2016 berdasarkan jangkaan harga minyak purata yang rendah tahun 2015. Ia merosot berbanding RM26 bilion yang dibayar tahun lalu, yang berlandaskan harga minyak purata pada 2014.
Pada awal 2015, Petronas mengumumkan untuk mengurangkan perbelanjaan modalnya sebanyak 10 peratus dan perbelanjaan operasi sehingga 30 peratus dan seterusnya 15 peratus lagi pada 2016.
Pada sesi pembentangan prestasi kewangan suku ketiga pada November lalu juga, Petronas turut mempamerkan purata harga minyak dunia jenis Brent pada 2015 iaitu AS$55.39 (RM243) setong berbanding tempoh sama 2014 yang berharga AS$106.57 (RM468) setong.
,
Wan Zulkiflee berkata, dalam rancangan perbelanjaan Petronas bagi tahun 2016 syarikat minyak itu akan berlandaskan kepada harga purata minyak dunia AS$48 (RM211) setong.
Sementara itu, Penasihat Petronas, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, syarikat minyak negara itu memerlukan modal yang banyak dan besar untuk memastikan operasi syarikat terus berada dalam keadaan stabil pada masa depan.
“Untuk Petronas meneruskan operasi, modal yang besar diperlukan, umpamanya bagaimana untuk mengeksploitasi pegangan saham daripada syarikat minyak di Kanada, ia perlukan wang yang banyak.
“Tetapi Petronas sekarang hasil penjualan minyak tidak begitu besar untuk mengembangkan kegiatan syarikat,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan