Revolusi entiti pencegahan rasuah: Mohamad Irfan Roslan

logo-SPRM
KEWUJUDAN entiti pencegahan rasuah di Malaysia bermula dengan sebuah unit kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti pencegahan rasuah.

Ketika itu, siasatan kes rasuah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (Jenayah Khas) di bawah pasukan Polis DiRaja Malaysia manakala pendakwaan kes rasuah pula dikendalikan oleh Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara.

Kerajaan kemudiannya telah menggabungkan usaha pencegahan rasuah oleh ketiga-tiga agensi itu dengan mewujudkan Badan Pencegah Rasuah pada 1 Oktober 1967.

Pada 29 Ogos 1973, entiti pencegahan rasuah negara diwujudkan secara undang-undang apabila Akta Biro Siasatan Negara diperkenan, sekaligus mengubah entiti BPR kepada Biro Siasatan Negara (BSN). Perubahan itu telah meluaskan kuasa perundangan BSN dengan mandat untuk menyiasat kes berkaitan kepentingan negara, di samping kes rasuah.

Bagaimanapun, perubahan sekali lagi berlaku apabila Akta Badan Pencegah Rasuah 1982 diluluskan oleh Parlimen pada 13 Mei 1982. Akta ini meletakkan semula tugas pencegahan rasuah kepada BPR yang secara rasminya juga menggantikan BSN. Perubahan ini memartabatkan peranan BPR sebagai entiti tunggal yang dipertanggungjawabkan khusus untuk mencegah jenayah rasuah.

Pada tahun 2008, Parlimen telah bersetuju supaya satu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwujudkan bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR), selaras dengan hasrat masyarakat yang mahukan entiti pencegahan rasuah yang lebih bebas, telus dan profesional.

Dengan itu juga, Akta Badan Pencegah Rasuah 1982 telah digantikan dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mula beroperasi secara rasminya pada 1 Januari 2009 bersama-sama penguatkuasaan Akta SPRM 2009.

Transformasi BPR kepada SPRM bukan pada nama semata-mata. Perubahan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kebebasan dan ketelusan tindakan pencegahan rasuah di Malaysia, sekaligus menangkis persepsi negatif terhadap entiti pencegahan rasuah ini yang sebelumnya dianggap tidak bebas dan tidak telus.

Justeru, mekanisme ‘check and balance’ diwujudkan melalui pembentukan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JA), Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) bersama-sama penubuhan SPRM dengan fungsi untuk memantau, menasihati serta memastikan fungsi dan tanggungjawab Suruhanjaya ini dilaksanakan dengan cekap, berkesan, bebas dan telus.

Keanggotaan bagi kelima-lima entiti bebas ini dipilih dari kalangan individu berintegriti yang cemerlang dalam perkhidmatan dan profesion masing-masing.

Anda mampu mengubahnya, Perangi Rasuah. Syabas SPRM.

Mohamad Irfan Roslan
Kota Bharu, Kelantan

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, mahupun Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

EDITOR: Pihak kami mengalu-alukan tulisan anda untuk disiarkan di ruangan Pendapat. Hantarkan ke alamat emel editor.ismaweb@gmail.com.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian