Selfie ketika menyusu langgar konsep keimanan
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Rabu – Tren foto ‘Brelfie’ atau ‘Breastfeeding Selfie’ yang menjadi viral kini hakikatnya telah melanggar konsep malu sebahagian dari iman dan aurat dalam Islam.
Menjelaskan perkara itu, Ketua Penerangan Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata penyusuan ibu adalah satu perbuatan mulia seorang ibu bahkan disebut dalam al- Quran, sedangkan ‘Brelfie’ ini melanggari aurat wanita Islam.
‘Brelfie’ telah dipopularkan oleh aktivis penyusuan di Barat dan ia dengan pantas menjadi trend keibubapaan apabila aktres dan supermodel seperti Miranda Kerr, Gwen Stefanie dan Gisele Bundchen memuatnaik saat – saat mereka menyusukan bayi ke media sosial.
“Jadi kenapa kita mesti mengikut trend ini secara melulu di atas nama aktivisme? Sebagai seorang Islam kita harus sedar kita ada batasan yang perlu dijaga.
“Saya juga bimbang ‘Brelfie’ ini hanya akan memusnahkan kerja-kerja keras para aktivis sebenar untuk menggalakkan ibu-ibu menyusukan bayi,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada beberapa foto ibu menyusukan anak yang menjadi viral di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Melihat kepada situasi itu, Prof Rafidah yang juga Timbalan Dekan & Pensyarah Fisiologi USIM berkata, nyata masih ramai ibu bapa Muslim yang mungkin kurang jelas lagi tentang konsep aurat dalam Islam.
Sebenarnya, aurat bukanlah hanya dengan tidak menampakkan kulit.
“Aurat lebih dari sekadar kod pakaian apabila ia menekankan tatasusila kesopanan, perlakuan dan juga percakapan.
“Rasa rendah diri pada Allah SWT, bagaimana kita membawa diri kita dalam perlakuan seharian melalui etika dan dasar moral yang ditetapkan Islam, melengkapkan hijab atau tudung yang kita pakai secara fizikal.
“Jadi trend ‘Brelfie’ ini tidak sepatutnya mendefinasikan kita dan sifat keibuan kita. Ini kerana yang lebih penting ialah saat intim, teristimewa dan jujur kita bersama bayi kita semasa kita menyusukan mereka, sambil kita mengalunkan Quran dan membaca sirah nabawiyah kepada mereka bagi mendodoikan mereka, yang benar-benar lebih bermakna,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan