Semua pihak perlu serius agenda penyatuan Melayu Islam, tak terhad PAS-UMNO sahaja

Haji-Hazizi-56Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, Khamis – Semua pihak termasuk kerajaan dan masyarakat perlu serius dalam melaksanakan kesepakatan dan perpaduan Melayu Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata niat positif ini tidak seharusnya berhenti setakat dalam ucapan retorik di atas pentas sahaja malah perlu dilaksanakan secara serius dan praktikal.

“Kesemua pihak, tidak sekadar UMNO dan PAS sahaja hendaklah bersepakat di atas satu agenda bersama yang menjadi asas perpaduan masyarakat Melayu Islam dan seterusnya menjamin kestabilan politik, sosial serta ekonomi negara,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan di Mega Utusan Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, melihat ancaman yang dihadapi negara hari ini, agenda bersama harus disepakati dan berpegang kepada dua paksi.

“Mempertahankan identiti negara berteraskan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kedudukan istimewa bagi agama Islam, orang Melayu dan Institusi Beraja.

“Mempertahankan jati diri orang Melayu yang sudah sebati dengan agama Islam daripada dicairkan dengan aliran fahaman asing,” katanya.

Tegas dengan perkara itu, Ustaz Hazizi berkata agenda bersama kesepakatan ini juga perlu menghentikan fenomena orang Melayu diperkotak-katikkan oleh kumpulan minoriti negara.

“Agenda bersama seharusnya memandu pendirian semua orang Melayu agar kepentingan umat Islam mendapat keutamaan tertinggi, manakala kepentingan parti seharusnya menyokong dan bukannya meruntuhkan keutamaan tertinggi itu,” katanya.

Katanya, ia akan dapat direalisasikan dengan pemerkasaan pendidikan Islam di sekolah dan universiti supaya menanam rasa bangga dan mulia anak Melayu terhadap kegemilangan tamadun bangsa dan agamanya yang mesti diperkukuhkan.

“Tiada gunanya identiti negara Islam hanya di persada Perlembagaan, jika majoriti umat Islam sendiri sudah menjunjung nilai hidup Barat dan lupa asal usul identiti sendiri,” katanya.

Isma, sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, yang komited dengan agenda perpaduan Melayu Islam telah memperkenalkan slogan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ sejak tahun 2010.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?