Serangan pengganas di India: Angka kematian meningkat kepada tujuh

patankot india

NEW DELHI, Ahad – Angka kematian dalam serangan ke atas pangkalan udara Patankot dilaporkan meningkat kepada tujuh dengan anggota keselamatan masih meneruskan operasi pembersihan di pangkalan itu, terletak kira-kira 30 kilometer dari sempadan Pakistan.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa India mengenai angka kematian terkini.

Tiga anggota dilaporkan terbunuh dalam serangan pada 3.30 pagi semalam dan tiga orang lagi mengalami kecederaan, di sebuah hospital tentera hari ini.

Seorang wartawan CNN-IBN melaporkan dari pangkalan udara Patankot bahawa seorang pegawai tentera terkorban hari ini apabila terpijak jerangkap samar semasa menjalankan operasi pembersihan.

Wartawan itu juga memberitahu, serangan berlaku awal tengah hari dan para pegawai perisikan tentera dipetik sebagai berkata sekurang-kurangnya dua lagi anggota militan bersembunyi di pangkalan itu yang menempatkan pesawat pejuang dan helikopter tempur.

Semalam, pegawai keselamatan dan polis Punjab berkata empat anggota militan maut apabila empat hingga lima lelaki yang lengkap bersenjata menggempur pangkalan udara itu kira-kira 3.30 pagi waktu tempatan.

Para penganalisis pertahanan menyalahkan kelemahan penyelarasan dalam kalangan pelbagai pasukan keselamatan sebagai punca operasi pembersihan yang dilancarkan sudah melewati lebih 24 jam.

Ketiadaan kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut juga menimbulkan banyak spekulasi mengenai keselamatan pangkalan-pangkalan tentera India yang terletak berhampiran sempadan.

Berikutan serangan itu, media dan ahli politik menyalahkan tentera Pakistan kerana menyokong pengganas dengan percubaan untuk menggagalkan usaha oleh Perdana Menteri India Narindra Modi untuk memulihkan hubungan dengan negara jiran tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, amaran keselamatan dikeluarkan oleh pesuruhjaya polis New Delhi hari ini ekoran laporan bahawa beberapa anggota militan telah menyusup masuk ke ibu negara menjelang sambutan Hari Republik India pada 26 Jan.

Pagi tadi, perkhidmatan kereta api dari ibu negara ke beberapa bandaraya utama tergendala selama beberapa jam selepas polis menerima surat bahawa anggota militan telah memasang bahan letupan dalam sebuah kereta api ekspres. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian