Sifat kenegerian bukan hanya pada bola sepak

trw

Arena bola sepak tempatan semakin meriah menjelang musim baru yang bakal bermula. Setiap pasukan pastinya sedang sibuk menyusun strategi dan mencari penaja. Warna-warni dunia bola sepak diceriakan lagi dengan isu penajaan Dato’ Seri Vida ke atas pasukan Kelantan beserta syarat-syarat yang telah pun dipersetujui. Pasukan-pasukan negeri lain pun tidak kurang hebatnya mendapat tajaan daripada pelbagai pihak termasuklah Sultan Johor yang telah menyatakan persetujuan menaja pasukan JDT.

Sukan bola sepak tidak pernah sunyi daripada sokongan para peminat negeri masing-masing. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan sukan bola sepak mampu menyatu padukan rakyat sesebuah negeri khususnya dan negara amnya. Semangat kenegerian ini amat terserlah apabila berlangsungnya sesuatu perlawanan. Sehinggakan, anak-anak negeri yang tinggal di perantauan tidak pernah lelah untuk menyatakan sokongan padu buat pasukan negeri masing-masing.

Tidak ada salahnya bagi rakyat sesebuah negeri untuk menyatakan sokongan mereka kepada pasukan bola sepak negeri masing-masing. Hal ini kerana, semangat kenegerian adalah sebahagian daripada fitrah yang ada dalam diri setiap orang. Tambahan pula, menjadi anak negeri tertentu merupakan sebahagian daripada takdir Allah SWT. Oleh yang demikian, kecintaan seseorang kepada keluarga, bangsa, dan tanah air ialah sesuatu yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai keislaman.

Namun, semangat kenegerian ini haruslah berlandaskan batas-batas yang telah ditetapkan oleh agama. Janganlah sampai kita membela dan membenarkan sesuatu yang salah daripada sudut agama dan moral hanya kerana taksub dengan semangat kenegerian.

jdt

Indahnya semangat kenegerian dijelmakan dalam mendaulatkan Islam

Alangkah indah seandainya semangat kenegerian ini dapat dihalakan untuk pemerkasaan nilai-nilai Islam dan pembangunan sesebuah negeri. Hal ini dapat direalisasikan sekiranya semangat ini dibimbing dengan ilmu serta kesedaran yang mendalam.

Sesuatu peristiwa yang bertentangan dengan agama dan nilai-nilai budaya seharusnya mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya oleh anak-anak negeri yang berkenaan. Isu-isu seperti perjudian haram, penyalah gunaan dadah, masalah rempit dan pergaulan bebas harus menjadi perhatian utama anak-anak negeri bagi membendung kebejatan sosial ini menular dalam kalangan masyarakat.

Apatah lagi dengan kewujudan laman-laman media sosial yang mewakili negeri bahkan daerah-daerah tertentu sewajarnya menjadi medium terbaik membincang dan mengutarakan solusi kepada masalah-masalah moral dan pembangunan sesebuah negeri selain untuk melariskan jualan.

Malangnya, medium media sosial ini lebih banyak mengutarakan berita-berita sensasi dan sebahagiannya hanyalah khabar angin sahaja. Setiap anak negeri harus merasa bertanggungjawab terhadap setiap permasalahan yang berlaku dan merasa bertanggungjawab untuk menyumbang bagi menyelesaikannya. Inilah semangat kenegerian yang kita inginkan, bukan sekadar dalam sukan bola sepak bahkan merentas isu dan minat.

masjid zahir

Semangat kenegerian asas desakan

Semangat kenegerian ini juga boleh ditiup bagi mendesak pimpinan negeri dalam hal-hal berkaitan kebajikan dan keselamatan penduduk setempat. Isu jalan berlubang, masalah perparitan, masalah air, dan juga masalah kecurian boleh dibangkitkan dan diambil tindakan oleh anak-anak negeri bagi mendesak pihak pimpinan negeri mengambil perhatian dan tindakan sewajarnya.

Dengan semangat kenegerian yang terbimbing, suara rakyat marhaen akan didengari. Sekalipun, perubahan dan tindakan di peringkat negeri agak sukar, kesepakatan anak-anak negeri boleh menyelesaikan beberapa masalah secara bersama.

Lihatlah, berapa ramai orang yang benar-benar susah yang dibantu apabila berita kesusahan mereka mendapat perhatian masyarakat dan sejumlah dana dapat dikumpul bagi meringankan beban mereka. Ini ialah usaha yang bagus di peringkat individu dan persatuan.

Ayuhlah, kita satukan suara anak-anak negeri dalam menyelesaikan masalah-masalah sosial yang kian membarah. Suara kesatuan dan semangat ini akan dapat merealisasikan sebuah masyarakat yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan sejahtera.

Dalam gegak-gempita kita melaungkan sokongan di stadium atau di rumah untuk pasukan bola, marilah kita juga bersama-sama kita bersatu ke arah kesejahteraan negeri yang kita sayangi.

sultan abdul halim

Salam Ulangtahun ke-88 buat Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darulaman.

Azimi Abdul Rahman
Ketua Pemuda ISMA
Cawangan Alor Setar

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian