Sistem AES berjaya kurangkan kemalangan jalan raya: Menteri
KUALA LUMPUR, Rabu –“AES bukan untuk menghukum rakyat dengan mengeluarkan saman dan denda. Kami hanya mahu menyelamatkan nyawa,” kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Menafikan bahawa sistem itu sebagai satu cara bagi kerajaan untuk mendapatkan pendapatan tambahan, beliau berkata, pelaksanaan AES bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya.
“Kerajaan tidak menguatkuasakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) untuk membebankan rakyat. Kita mahu melaksanakan AES kerana ia adalah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di negara ini,” katanya, di Wisma MCA semalam.
Tiong Lai menegaskan bahawa kematian akibat kesalahan trafik adalah satu kebimbangan utama kementerian itu, yang mencatatkan hampir 7,000 kematian dengan lebih daripada 500,000 kemalangan jalan raya setiap tahun.
Menurutnya, beliau telah menerima banyak maklum balas daripada pengguna jalan raya, mengakui bahawa mereka akan memperlahankan kenderaan setiap kali mereka melihat kamera AES.
“Kawasan-kawasan yang dipasang AES telah mencatatkan pengurangan dalam kemalangan jalan raya. Pelaksanaan di negara-negara lain juga telah menunjukkan bahawa sistem ini berkesan, ” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengharapkan agar masyarakat boleh memberikan cadangan penambahbaikan bagi sistem itu.
“Kita mengalu-alukan maklum balas dan cadangan daripada orang ramai supaya kita boleh melakukan yang lebih baik,” katanya.
Sebelum ini Liow mengumumkan bahawa Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalanraya (KEJARA) akan dilaksanakan serentak selewat-lewatnya Mac ini.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan