Sultan Kedah mahu pemimpin cari jalan kurangkan beban rakyat
ALOR SETAR, Ahad – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah menyarankan Menteri Besar dan anggota kerajaan terus mencari jalan meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kejatuhan harga komoditi dan nilai ringgit.
Baginda yang juga Yang di-Pertuan Agong bertitah keperitan rakyat berikutan keadaan itu mengakibatkan kuasa beli rakyat berkurangan dengan mendadak dan Kedah antara negeri yang amat terkesan dengan perkara itu.
“Teruslah membantu mereka yang serba kekurangan dengan mengupayakan mereka melalui latihan dan bantuan,” titah baginda dalam istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah serta bintang kebesaran sempena ulang tahun ke-88 keputeraan baginda, di Istana Anak Bukit di sini hari ini.
Titah ucapan baginda dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Sallehudin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Baginda bertitah, Kedah turut membantu negara untuk mencapai hasrat menjadi negara maju menerusi sumbangannya terhadap pertumbuhan ekonomi negara dan kelangsungan industri bekalan makanan negara khususnya padi.
Baginda menegaskan, Taman Teknologi Tinggi Kulim misalnya telah berjaya menarik pelaburan mencecah RM31 bilion, selain menyediakan 22,000 pekerjaan berpendapatan tinggi yang majoritinya diisi warga tempatan.
“Jika Kedah tidak dapat bantuan dan sokongan daripada kerajaan persekutuan, beta percaya cita-cita negara untuk mencapai Wawasan 2020 akan gagal kerana
Kedah akan terus berada di belakang negeri lain yang lebih berupaya dan kaya,” titah baginda.
Dalam aspek pentadbiran, baginda turut menyeru semua pemimpin agar “kurangkan cakap dan lebihkan kerja” serta menjauhi rasuah bagi menjamin kesinambungan kejayaan.
Baginda bertitah, setiap pemimpin perlu membudayakan nilai integriti tinggi yang diyakini rakyat jelata, selain memastikan tindak tanduk berasaskan kepada nilai-nilai murni.
“Untuk menjamin kesinambungan kejayaan, perlu ada sifat-sifat seperti amanah, jujur dan ikhlas dalam setiap urusan yang dilakukan,” titah baginda.
Sultan Kedah turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Kedah kerana menjuarai Liga Perdana, menjadi Naib Juara Piala Malaysia dan terpilih sebagai Pasukan Terbaik 2015.
Kejayaan-kejayaan tersebut, titah baginda, bukanlah mudah diperoleh dan merupakan hasil usaha bersungguh-sungguh dan perancangan rapi daripada semua yang terlibat.
“Sukan mampu menyatupadukan rakyat. Beta menyeru semoga diteruskan usaha-usaha meningkatkan prestasi sukan di Kedah,” titah baginda.
Baginda turut meminta semua pihak komited memberikan kerjasama jitu bagi menjayakan ‘Discover Kedah 2016’ dengan mengekalkan sifat ramah dan mesra semasa menyambut kedatangan pelancong ke negeri ini.
Sultan Kedah turut yakin, sasaran menarik lima juta pelancong mampu menjadi kenyataan sekiranya kebersihan dan keindahan di negeri ini dijaga dengan rapi dan teratur.
Terdahulu dalam ucapannya, Tunku Sallehuddin bertitah walaupun isu ideologi ekstremis militan Daesh telah dibangkitkan tahun lepas, namun negeri ini masih digemparkan dengan penglibatan anak Kedah yang terpengaruh dengan ideologi tersebut.
“Perkembangan ini sangat membimbangkan dan perlu ditangani sebaik mungkin, setiap anggota masyarakat perlu peka dan memainkan peranan untuk menghindari penyebaran ideologi ini
“Jangan ada mana-mana pihak yang terpesong daripada ajaran agama Islam yang sebenar, kembalilah ke pangkal jalan,” titah Tunku Sallehuddin yang juga Tunku Temenggong Kedah.
Selasa lalu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan di sebuah pasar raya di Sungai Petani dipercayai terlibat dengan kumpulan militan Daesh, juga dikenali sebagai militan I.S.
Pada istiadat itu, sebanyak 68 orang dianugerahkan darjah dan bintang kebesaran Kedah.
Turut hadir anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan pembesar-pembesar negeri. – Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan