Tanjong Malim kini dikenali sebagai Daerah Muallim

Gambar: The Star

TANJONG MALIM, Isnin – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan mengisytiharkan Tanjong Malim sebagai ‘Daerah Muallim’ iaitu daerah pentadbiran baharu ke sebelas bagi negeri Perak, yang sebelum ini diletakkan di bawah daerah Batang Padang.

Titah perisytiharan itu menyatakan bahawa perkataan ‘Muallim’ berasal daripada perkataan Arab yang berkaitan dengan ilmu dan ilmuan agama.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan bahawa ilmu dan agama wajib dijadikan panduan ketika merancang serta merangka pembangunan di daerah berkenaan supaya tidak berlaku kontrakdiksi nama dan kandungannya.

“Unsur ilmu dan agama hendaklah dijadikan identiti daerah ini. Amatlah bertepatan dengan namanya jika daerah Muallim dibangunkan sebagai wilayah ilmu dan kota pelajar,” titah baginda.

Daerah Muallim yang juga terletak di dalam kawasan Parlimen Tanjong Malim berkeluasan 93,434 hektar mempunyai 69,639 penduduk dan terdiri daripada tiga mukim iaitu Slim, Hulu Bernam Timur dan Hulu Bernam Barat.

Baginda bertitah, daerah Muallim mempunyai penduduk pelbagai latar belakang agama, etnik, budaya dan bahasa selain terbabit dalam pelbagai profesion serta memiliki tahap pencapaian sosioekonomi yang berbeza.

Titah baginda lagi, perancangan pembangunan daerah Muallim sewajibnya berupaya memenuhi keperluan penduduk terutama kemudahan perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan, perhubungan dan perumahan.

“Semoga pemimpin, pentadbir serta penduduk di daerah Muallim sama-sama memahami, menghayati dan melaksanakan hasrat untuk membangunkan Perak sebagai negeri yang mencapai tahap sosioekonomi dan pendapatan per kapita tinggi.

“Semoga daerah Muallim akan menjadi daerah yang termaju dan pemimpin, pentadbir serta penduduknya sama-sama mendukung hasrat kerajaan beta untuk menjadikan negeri Perak sebuah negeri yang aman lagi berjaya,” titah baginda.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian