TPPA: Shahrir kata dakwaan AS akan jajah Malaysia mengarut

tppa-shahrir

Oleh RZ

BANGI, Isnin – Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad menyifatkan modal digunakan pihak tertentu – Malaysia akan dijajah atau di bawah kongkongan Amerika Syarikat (AS) – hanyalah momokan untuk menimbulkan kemarahan dan penentangan rakyat terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Sebaliknya, beliau membangkitkan persoalan mengenai maksud penjajahan tersebut, adakah ia bermakna AS menjajah semua 11 negara yang mungkin bersetuju dengan TPPA, atau negara-negara lain yang menyertainya akan menjajah Malaysia, atau AS hanya menjajah negara ini?

BNBBC hari ini melaporkan Shahrir sebagai berkata, tidak mungkin AS akan menjajah 11 anggota TPPA kerana semuanya adalah negara yang merdeka, bebas dan berdaulat.

“Takkan ini bermakna Brunei juga akan dijajah,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional.

Selain Malaysia, Brunei negara-negara lain adalah Australia, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Vietnam dan AS sendiri.

Amerika Syarikat dan Vietnam telah memuktamadkan rundingan TPPA di Atlanta, Georgia pada 5 Oktober lalu, setelah lima setengah tahun menjalankan rundingan.

“Daripada tiga situasi penjajah itu, yang mana satu situasi yg membawa kebimbangan penjajahan ini? Saya nampak Kanada walaupun jiran AS, dan sebagai negara yang berdaulat juga bersikap bebas dan tidak terjajah,”.

“Apatah lagi Vietnam yang telah berperang lama dengan AS, takkan mereka akan sanggup “dijajah” semula oleh negara Barat itu melalui TPPA,” katanya.

Justeru, Shahrir yakin perkara mengenai penjahan tersebut tidak benar sama sekali sebaliknya sering dimomokkan pihak tidak bertanggungjawab yang tidak mahu melihat Malaysia menandatangani perjanjian berkenaan.

“Banyak momokan bahawa AS akan menjajah kita kononnya terdapat kekangan pada negara dan Parlimen serta kuasa Yang di-Pertuan Agong juga dikatakan akan tersekat.

“Tetapi mengikut perkiraan kita, tidak mungkin AS akan menjajah 11 negara anggota TPPA kerana semua negara berkenaan adalah negara yang merdeka, bebas dan berdaulat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau percaya langkah kerajaan mengadakan penerangan TPPA secara terperinci di peringkat Parlimen dan Dewan Negara diyakini mampu menghentikan sebarang tanggapan tidak tepat mengenainya termasuk cerita penjajahan tersebut.

Malah, blok pembangkang di Parlimen sendiri sudah tentu menyuarakan rasa tidak puas hati mereka pada sidang khas Dewan Rakyat mengenai TPPA yang dijadualkan pada 26 Januari ini.

Sebelum itu, ahli-ahli parlimen Barisan Nasional, pembangkang serta Ahli Dewan Negara (Senator) akan menghadiri seminar berhubung TPPA, esok sekaligus membuka ruang kepada mereka yang dipilih rakyat mendapat gambaran jelas berkaitan TPPA termasuk isu dijajah AS.

Bagi Shahrir, cerita mengenai Malaysia akan dijajah atau dalam kongkongan AS hanya momokan tidak tepat yang berterusan sehingga menganggu emosi.

logoTolakTPPA

klik untuk bantah

TPPA mendapat tentangan pelbagai pihak, termasuk daripada pemimpin PAS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bimbang musibah ekonomi bakal menimpa negara dan kesejahteraan rakyat sekiranya perjanjian itu menjadi kenyataan.

TPPA bakal menggunapakai ISDS (Investor to State Dispute Settlement) sebagai ‘kuasa mutlak mengatasi kuasa Mahkamah Persekutuan’; yang akan menghukum negara yang engkar mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian TPPA.

Tidak hairan apabila daripada 29 bab yang dirundingkan hanya enam bab sahaja yang benar-benar melibatkan isu- isu perdagangan, sekaligus mengukuhkan pandangan bahawa TPPA tidak ikhlas untuk memperjuangkan kesaksamaan dalam berdagang, sebaliknya hanya mahu memperkukuh kedudukan AS sebagai kuasa ekonomi dunia melalui perjanjian yang terancang.

Sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, dengan lebih 30 juta penduduk yang berbilang kaum, keputusan Malaysia untuk meneruskan rundingan TPPA tanpa justifikasi yang kukuh dan telus merupakan satu tindakan yang cukup besar risikonya.

Dengan bersandarkan kepada fakta bahawa sudah begitu banyak negara yang menjadi mangsa kepada perjanjian perdagangan versi AS, Malaysia sepatutnya tidak perlu terus berdegil untuk meneruskan rundingan.

TPPA terbukti sebuah perjanjian zalim yang akan membunuh berjuta nyawa apabila harga ubatan menjadi terlalu mahal.

TPPA bakal membunuh jutaan lagi peniaga kecil yang bakal kecundang dan berkubur ditangan syarikat-syarikat transnasional dengan keistimewaan tersendiri dan keupayaan modal berkali ganda, dan TPPA hanya akan meletakkan negara ini terjerumus jauh ke belakang apabila akses kepada maklumat dan ilmu disekat sewenang-wenangnya.

Pada akhirnya, rakyat Malaysia sendirilah yang akan terpaksa menanggung beban kegagalan TPPA, samada melalui kos sara hidup yang menjulang tinggi atau risiko negara disaman berbillion ringgit sekiranya tidak dapat memenuhi tuntutan-tuntutan melampau yang bakal dikuatkuasakan sebaik rundingan ini ditamatkan tidak berapa lama lagi.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian