Tribunal saluran terbaik selesai kes jagaan anak antara agama

zainul-rijal

CYBERJAYA, Selasa – Persatuan Peguam Muslim Malaysia mencadangkan supaya sebuah tribunal, yang dianggotai hakim-hakim mahkamah syariah dan sivil, ditubuhkan untuk mencari penyelesaian secara baik bagi kes penjagaan anak antara agama.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abdul Bakar, berkata tribunal itu boleh menjadi platform terbaik bagi hakim untuk bersama-sama menyelesaikan perkara itu demi kebaikan dan kepentingan kanak-kanak terbabit.

Penubuhan tribunal itu dicadangkan selepas Mahkamah Rayuan baru-baru ini ketika memberi keputusannya mengenai kes melibatkan guru tadika, M Indira Gandhi, yang anak-anaknya memeluk Islam selepas bekas suaminya K Patmanathan berbuat demikian dan menukar namanya kepada Muhammad Riduan Abdullah.

“Ini adalah hal keluarga. Daripada membawa kes ini ke mahkamah yang mempunyai prosedur ketat, sebuah tribunal boleh mencari penyelesaian yang lebih baik dan secara lebih tidak formal serta fleksibel,” katanya.

Zainul Rijal, yang juga peguam syarie, menyatakan demikian kepada pemberita selepas sesi mengenai Agama dan Hak Kanak-kanak di Malaysia pada Konvensyen Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Mengenai Hikmah 2016 (ICW 2.0) di sini, hari ini.

Beliau berkata, tribunal itu, yang cadangan penubuhannya telah dikemukakan kepada kerajaan, Jabatan Peguam Negara dan menteri berkenaan dua tahun lepas, juga akan mengendalikan pertikaian melibatkan orang Islam dan bukan Islam.

Semasa sesi soal jawab ICW 2.0, Zainul Rijal berkata langkah meminda Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) dan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 juga boleh membantu menyelesaikan pertikaian seperti itu.

Jika undang-undang itu tidak dipinda, katanya, masalah akan terus wujud dan tiada penghujungnya memandangkan Malaysia mengamalkan dua sistem undang-undang. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian