Amalan hormat, elak provokasi kekal keharmonian

Alhamdulillah kita ditakdirkan oleh Allah SWT untuk hidup di dalam sebuah negara yang aman damai, dilimpahi rezeki melimpah ruah dan hidup dalam penuh keamanan. Nikmat hidup aman dan rezeki yang mudah diperolehi secara umumnya adalah nikmat yang selalu disentuh di dalam al Quran seperti firman Allah dalam Surah Quraisy ayat 3 dan 4 : Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.

Semenjak dari tarikh kemerdekaan sehingga hari ini secara umumnya kita berjaya mempertahankan kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara. Sangat unik negara ini apabila rakyatnya yang berbilang agama, berbilang kaum, budaya dan kepercayaan berjaya mengekalkan keamanan negara, satu fenomena yang istimewa jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Ada negara yang majoriti penduduknya satu bangsa dan satu agama namun keamanan ini gagal dipertahankan. Sedikit insiden yang berlaku di negara ini bolehlah dianggap terpencil dan tidak mewakili kehendak majoriti rakyat.

Antara ramuan utama keenakan hidup bermasyarakat di negara ini ialah setiap pihak sedaya menghormati undang-undang dan tidak melangkau sempadan yang ditetapkan walaupun kadang-kadang terpaksa mengorbankan kepentingan sendiri. Dalam sebuah negara yang sifatnya berbilang-bilang agama dan bangsa, sudah tentu setiap bangsa dan agama mempunyai kehendak masing-masing dan jika tidak dikawal dan diletakkan sempadan maka sudah tentu akan berlaku pertembungan kehendak dan tuntutan sesama penduduk yang berbeza agama dan kaum. Maka dalam situasi ini dan demi mengelakkan pertembungan kepentingan terus berlaku, amatlah penting perlembagaan negara terus dipelihara dan dihormati.

Mempertahankan hidup penuh keharmonian ini perlu disebut dan dikempenkan selalu agar sentiasa segar dalam minda rakyat negara ini. Pada pihak umat Islam, galakkan untuk hidup harmoni dengan penganut agama lain tidak pernah gagal untuk dipromosikan sepanjang masa sehingga dalam majlis-majlis keagamaan yang hanya dihadiri oelh umat Islam pun seperti sambutan-sambutan keagamaan yang bersifat sebagai program rasmi kerajaan seperti sambutan Ma’al Hijrah, Majlis Tilawah al Quran, kempen menjaga sensitiviti penganut agama selain Islam dan mengekalkan keamanan tetap diselitkan dalam ucapan-ucapan.

Menariknya, dalam satu sambutan rasmi Maulidurrasul, ada di kalangan penganut agama yang tidak mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW pun tetap juga diberi pengiktirafan tokoh-tokoh tertentu hatta dalam khutbah Jumaat sekalipun kempen menjaga keharmonian sesama penduduk negara ini tidak ketinggalan dijadikan sebagai peringatan untuk sekelian hadirin. Ayat al Quran yang sering menjadi dalil dan sandaran ialah ayat 8 surah al Mumtahanah :

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Atas sifat kepatuhan umat Islam kepada agama masih menebal maka keharmonian menjaga sensitiviti penganut agama lain masih dijaga dan tindakan-tindakan provokasi segelintir pihak terhadap Islam sangat cermat disantuni.

Namun harapan kita agar kesungguhan umat Islam berkempen agar menghormati penganut agama lain ini dibalas juga dengan kesungguhan penganut agama selain Islam untuk menjaga dan mempertahankan keharmonian ini. Di pihak umat Islam segenap medan digunakan termasuk mimbar-mimbar masjid digunakan sebagai platform menyampaikan mesej keamanan. Tidak cukup dengan peruntukan perlembagaan yang ada, pesanan ini disulami dengan dalil-dalil al Quran dan al Sunnah.

Kita sebagai umat Islam , sangat-sangat mengharapkan agar penganut agama selain Islam juga secara serius berkempen agar kerukunan hidup bernegara dapat dipelihara dengan sering mengulang-ulang dalam ucapan-ucapan pemimpin mereka di tempat-tempat keramaian mereka agar agama Islam dihormati sebagai agama persekutuan. Sentiasa menjaga sensitiviti orang Islam, menjauhi daripada melakukan provokasi terhadap umat Islam. Kita sangat berharap mesej-mesej keamanan ini diucapkan di tempat-tempat ibadat mereka samada di gereja, kuil-kuil mahupun di tokong-tokong.

Adakah ini sudah berlaku? Apabila berlaku tindakan-tindakan provokasi kepada Islam dan umat Islam maka segeralah hendaknya pemimpin-pemimpin mereka menegaskan bahawa perbuatan berkenaan tidak mewakili pendirian penganut agama berkenaan dan menasihatkan mereka agar menghormati kepercayaan hak penduduk yang mewakili majoriti penduduk negara ini iaitu umat Islam.

Kita percaya bahawa tindakan mempromosi keamanan ini tidak akan berjaya jika tidak diusahakan oleh kedua-dua pihak yang berkepentingan ibarat pepatah Melayu “bertepuk sebelah tangan”. Ia juga tidak akan berjaya jika ia dilakukan setakat melepaskan batuk di tangga ataupun usaha bersungguh-sungguh pihak Islam disambut oleh pihak bukan Islam dengan mengajak masyarakat beranjak daripada memahami hak-hak toleransi mengikut acuan tempatan yang ada latarbelakang sejarah yang tersendiri kepada toleransi mengikut acuan standard Barat.

Menggunakan saluran-saluran antarabangsa untuk menuntut hak samarata tanpa menghormati perlembagaan, kontrak sosial dan budi baik orang-orang Islam selama ini. Apabila ini terjadi, maka secara tabi’inya akan muncul pembela-pembela di kalangan umat Islam yang merasakan hak-haknya yang selama ini dilindungi oleh perlembagaan dirasakan terancam. Dan tidak mustahil akan muncul golongan yang ekstrim membela maruah Islam. Jika ini berlaku, sekali lagi Islam dan umat Islam dimasukkan ke dalam kandang pihak yang bersalah mahupun pihak yang kena tuduh.

APA YANG KITA HARAPKAN DARI MEREKA?
Impian kita ialah suasana yang saling mengukuhkan semangat saling menghormati sesama warganegara dan kempennya berkumandang dari atas-atas minbar masjid sebagaimana penerangan bersungguh mengajak masyarakat bukan Islam menghormati beberapa peruntukan undang-undang perlembagaan negara seperti perkara 3(1) berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan, 11(4) berkaitan larangan penyebabaran dakyah agama lain kepada orang Islam, 12(2) berkaitan hak institusi Islam untuk mendapat bantuan dari kerajaan, 121(1A) berkaitan kuasa Mahkamamah Syariah dan lain-lain peruntukan yang jika dihormati ia akan memanjangkan nyawa keharmonian di negara ini.

Kita tidak mengharapkan sangat daripada mereka pujian yang melambung terhadap Islam. Kita memahami mereka bukanlah seorang Islam tetapi hanya kita mengharapkan mereka memahami situasi hidup di Malaysia yang majoriti penduduknya adalah Muslim dan diperuntukkan beberapa keistimewaan kepada Islam menerusi perlembagaan.

Ustaz Hj Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak & YDP Isma Ipoh

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?