Hishammuddin nafi buat keputusan sendiri gantung Muhyiddin
KUALA SELANGOR, Sabtu – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyangkal dakwaan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh bahawa beliau bertanggungjawab membuat keputusan menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden parti.
Sebaliknya, kata beliau, keputusan itu dibuat secara bersama oleh semua ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dengan bersandarkan kepada pendirian parti.
“Pada mesyuarat MT UMNO semalam (Jumaat), kebetulan Presiden dan Naib Presiden pertama mengecualikan diri…maka saya yang paling senior untuk mempengerusikannya (mesyuarat).
“Saya nak sahkan di sini bahawa keputusan mesyuarat dibuat selepas berbincang secara terperinci dan ia dibuat secara konsesus melibatkan semua anggota MT UMNO termasuk dari Johor,” katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed yang membidasnya dan beberapa pemimpin Johor lain kerana menyokong keputusan MT menggantung jawatan Muhyiddin.
“Tiada sebab kita nak tuding jari kepada mana-mana pihak…kita lakukan inidengan harapan memikirkan hala tuju parti untuk berhadapan situasi buruk atau baik sebagai satu pasukan.
“Sememangnya, keputusan semalam tidak boleh puaskan hati semua pihak. Tugas dan tanggungjawab Timbalan Presiden selain bantu parti adalah bantu Presiden…bila tidak dapat bantu, kita terpaksa gantung dan keputusan ituadalah wajar dan adil,” kata Hishammuddin.
MT pada bermesyuarat di Kuala Lumpur semalam, sebulat suara memutuskan untuk menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti berkuat kuasa serta-merta.
Berikutan keputusan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti. – Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan