Inflasi meningkat kepada 3.5 peratus pada Januari: BNM
KUALA LUMPUR, Isnin — Inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.58 peratus pada Januari 2016 berbanding 2.7 peratus yang dicatat pada Disember 2015, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat berkata kenaikan mencerminkan sebahagian besarnya kesan asas daripada penurunan harga bahan api yang lebih besar pada bulan sama tahun lepas.
Harga RON 95 dikurangkan 10 sen seliter pada Januari 2016, iaitu kurang berbanding penurunan 35 sen seliter pada Januari 2015, kata BNM dalam laporan Perkembangan Monetari dan Kewangan yang diterbitkan hari ini.
Inflasi diukur berdasarkan perubahan tahunan dalam Harga Indeks Pengguna (IHP).
BNM berkata inflasi dalam kategori pengangkutan meningkat kepada 0.6 peratus berbanding keputusan kenaikan inflasi keseluruhan.
Kategori perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta minuman beralkohol dan tembakau juga menyumbang kepada kadar inflasi lebih tinggi bagi bulan dalam semakan.
Dalam pada itu, pengurangan rebat tarif bagi penggunaan elektrik pada Januari 2016 menyebabkan kenaikan tarif elektrik efektif bagi Semenanjung Malaysia.
Inflasi lebih tinggi bagi bulan dalam semakan bagaimanapun diimbangi sebahagiannya oleh inflasi lebih rendah dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol serta komunikasi.
Pada bulan dalam semakan juga harga sayur-sayuran segar lebih rendah berikutan keadaan bekalan yang menggalakkan manakala harga efektif caj panggilan prabayar juga lebih rendah disebabkan pemberian rebat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada pengguna prabayar, kata bank pusat. — Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan