The Rakyat Post tutup
KUALA LUMPUR, Isnin – Wespacom Sdn Bhd hari ini menutup laman portal berita miliknya – The Rakyat Post – yang memulakan operasinya sejak 2013.
Penutupan itu dimaklumkan oleh syarikat berkenaan dalam mesyuarat dengan wakil 60 pekerjanya di Menara MBSB di sini, hari ini.
Sehubungan itu, syarikat terbabit juga memberitahu kakitangannya, mereka boleh membuat aduan kepada Jabatan Buruh atau mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan tunggakan dua bulan gaji mereka yang tidak dibayar.
Sebelum itu, 15 pekerja The Rakyat Post menemui Jabatan Buruh di Subang Jaya bagi mendapatkan nasihat bagi mengemukakan aduan rasmi terhadap syarikat itu.
Bercakap kepada wartawan, wakil kumpulan itu Michael Murty berkata, kakitangan tidak menerima apa-apa petunjuk sebelum ini bahawa syarikat itu menghadapi masalah pembiayaan dan mereka dibayar gaji seperti biasa.
“Pada Disember lalu pihak syarikat berkata mereka mempunyai masalah pembiayaan,” katanya.
Beliau mendakwa, syarikat gagal menjelaskan gaji bulan Januari dan Februari serta meminta kakitangan untuk mengambil cuti bergaji.
Rabu lalu, syarikat meminta mereka diberi masa selama seminggu bagi mendapatkan pembiayaan atau mereka akan menutup portal berkenaan buat sementara.
“Kami akan mengemukakan aduan rasmi kepada Pejabat Buruh,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan