Tun Dr Mahathir tak tubuh parti baharu, harap Muhyiddin juga keluar
PUTRAJAYA, Isnin – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta hari ini tidak akan menubuhkan parti baharu.
Sambil menegaskan beliau juga tidak akan menyertai mana-mana parti politik , Tun Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun berkata, beliau masih sayangkan UMNO.
“Tidak, jiwa saya masih pada UMNO,” katanya pada sidang media di sini, ketika diminta mengulas sama ada beliau akan menubuhkan parti baharu atau menyertai mana-mana parti.
Dr Mahathir bagaimanapun berkata, beliau akan tetap meneruskan usahanya untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.
“Saya akan pastikan Najib tidak akan terus menjadi Perdana Menteri negara ini,” katanya.
Pengumuman keluar UMNO itu dibuat Dr Mahathir kerana menyifatkan ia bukan lagi parti politik tetapi mendakwa sebagai parti individu bagi melindungi presidennya.
Tun Dr Mahathir adalah antara individu pertama yang menyertai UMNO apabola ditubuhkan pada 1946.
Apabila UMNO ditubuhkan pada 1946, beliau adalah salah seorang yang pertama mendaftarkan diri sebagai ahli, namun pada 1969 beliau dipecat daripada keahlian parti itu selepas mengkritik Presiden UMNO ketika itu Almarhum Tunku Abdul Rahman.
Beliau juga berharap bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turut serta keluar daripada parti terbesar bangsa Melayu itu yang kini berdepan pelbagai masalah dalaman berikutan skandal membabitkan Najib, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan