UIM berhasrat perkasa peranan mufti dan bekas mufti
CYBERJAYA, Isnin- Universiti Islam Malaysia (UIM) berhasrat menjadikan peranan mufti dan bekas-bekas mufti di negara ini lebih signifikan dan dekat dengan masyarakat.
Presiden UIM Tan Sri Prof Dr Mohd Yusof Noor berkata pada masa ini, peranan mufti dilihat terbatas sekadar menyatakan pandangan serta terhad di negeri masing-masing sahaja, walhal kumpulan itu boleh dianggap sebagai aset negara.
“Saya dapati kita rugi kerana ramai yang bertugas sebagai mufti termasuk yang telah bersara tidak dimanfaatkan sebaiknya. Pandangan dan keilmuwan mereka sebenarnya boleh menyatukan umat Islam,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan pelancaran siri pertama Majlis Talaqqi Kitab Bersanad di sini, semalam.
Mohd Yusof berkata mengambil contoh negara Mesir yang mempunyai organisasi dipanggil Kibar Ulama (Ulama Terbesar) berperanan sebagai platform untuk menyampaikan mesej Islam, para mufti atau bekas-bekas mufti dari seluruh negara ini boleh dihimpunkan secara bergilir bersama penuntut ilmu syarie dalam satu majlis Talaqqi bulanan.
“Kedatangan tokoh dari Australia ini menyedarkan saya tentang peluang yang ada di negara kita sendiri. Kita ada tokoh, kenapa kita tidak boleh mengadakannya?” katanya sambil menambah UIM sedia menjadi perintis untuk tujuan tersebut.
Majlis Talaqqi anjuran UIM ini diadakan selama sehari di bawah kendalian Chairman of Darulfatwa, the Islamic High Council of Australia, Dr Sheikh Salim Alwan al-Husainiyy dalam bahasa Arab dengan bantuan dua penterjemah, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Pengetua Pusat Kecemerlangan Pengajian Islam Baitussaadah Dr Ustaz Mohd Sobri Elias.
Selain tokoh tempatan, UIM juga berhasrat mengundang ilmuwan dari luar negara iaitu Brunei dan Indonesia termasuk negara yang penganut muslimnya minoriti seperti Thailand dan Kemboja.
Pelajar yang hadir ke majlis itu melebihi 10 kali berturut-turut akan dianugerahkan pengiktirafan khas berupa dokumen bertulis yang digelar Ijazah Bersanad.
Talaqqi bermaksud pelajar duduk bersemuka atau berhadapan dengan guru sementara bersanad, pengajian ilmu yang berkesinambungan diterima secara turun-temurun daripada ulama hingga sampai kepada penutur, pemilik atau pengarang asal, dalam konteks Imam Abu Hanifah. – Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan