Mada nasihat pesawah guna teknik tabur terus kering jimat penggunaan air

sawah kering

ALOR SETAR, Jumaat – Pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) digalakkan agar menggunakan kaedah putaran tanah kering sebelum bekalan air dimulakan, bagi menjimatkan penggunaan air pada musim panas ini.

Timbalan Pengurus Besar MADA (Teknikal), Ir Datuk Hor Tek Lip berkata, melalui proses tersebut, petani perlu menggembur tanah menggunakan jentera secara teknik putaran, bagi membolehkan tanah sawah lebih mudah diuruskan setelah dibekalkan air.

“Keadaan tanah sekarang ini keras dan merekah jadi sebagai persediaan untuk memasuki musim baharu, pesawah kena gembur tanah secara putaran, jadi apabila air masuk ke sawah ia mudah meresap dan air pun tidak terbazir.

“Biasanya teknik ini kita gunakan pada musim pertama penanaman padi dan ia dapat menjimatkan penggunaan air,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Cuaca panas melampau dan kering akibat fenomena El Nino ketika ini diramal beransur baik menjelang April. Pada 10 Mac lalu,  Alor Setar dan Chuping, Perlis mencatat suhu tertinggi iaitu 38.5 darjah Celsius.

Hor berkata, walaupun MADA memberi jaminan bekalan air mencukupi untuk penanaman padi pada musim ini, pesawah perlulah sentiasa menjimatkan penggunaan air bagi mengelak jumlah air untuk kegunaan domestik terjejas.

Beliau berkata bagi satu-satu musim penanaman padi, sebanyak 1.2 juta ekar kaki air diperlukan untuk sistem pengairan, dengan 32 peratus sumber air daripada empangan, 45 peratus air hujan, 15.7 peratus aliran sungai dan 7.3 peratus daripada pam guna semula air.

Terdapat 105 stesen pam guna semula air di kawasan MADA yang mampu membekalkan kira-kira lapan peratus jumlah air diperlukan untuk pengairan padi.

Hor turut meminta pesawah mematuhi jadual penanaman padi yang telah diedarkan kepada pesawah bagi memastikan kelancaran proses penanaman padi.

MADA menetapkan tiga fasa penanaman padi iaitu pada 30 Mac, 9 April dan 19 April ini.- Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?