Ahli Parlimen sertai perarakan bantah penahanan Rafizi akan ditahan: KPN
BANGI, Khamis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menahan mana-mana ahli Parlimen yang menyertai protes jalanan dari Parlimen ke Bukit Aman ekoran penahanan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka boleh ditahan dibawah Akta Perhimpunan Aman (APA) yang melarang sebarang protes jalanan.
“APA melarang sebarang protes jalanan dan penganju bersedialah untuk berhadapan tindakan tegas @PDRM.
“Pihak polis ingin mengingatkan mereka yang berhasrat untuk mengambil bahagian dalam perarakan ke Bukit Aman untuk membantah penahanan YB Rafizi Ramli untuk mematuhi APA untuk mengelakkan menghadapi tindakan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Twitternya, semalam.
Katanya lagi, penangkapan Naib Presiden PKR itu adalah mengikut undang-undang negara dan PDRM menyerahkan kepada Peguam Negara serta mahkamah untuk membuat keputusan.
Semalam, ahli Parlimen pembangkang berkata mereka akan berarak dari Bangunan Parlimen ke ibu pejabat polis Bukit Aman pada jam 9 pagi ini untuk membantah penahanan Rafizi.
Rafizi ditahan oleh polis pada 5 April lalu di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan