APMM tahan 21 nelayan Indonesia ceroboh perairan negara
PELABUHAN KLANG, Sabtu – Seramai 21 nelayan warga Indonesia bersama empat bot ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana menceroboh perairan negara, kira-kira 25 batu nautika dari Sekinchan, Selangor, petang semalam.
Pengarah Daerah Maritim 4 Selangor, Kapten Mohd Rosli Abdullah berkata kesemua nelayan termasuk empat tekong berumur lingkungan 20 hingga 57 tahun itu ditahan ketika sedang menangkap ikan menggunakan pukat hanyut.
“Kesemua nelayan menaiki empat bot berasingan dikesan menjalankan aktiviti itu kira-kira 7.4 batu nautika dari sempadanan perairan negara ketika APMM melakukan rondaan Ops Satria Selatan pada pukul 2.45 petang.
“Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Beliau berkata kesemua nelayan itu yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dibawa ke jeti Daerah Maritim Klang dan direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan negara.
Dalam kes berasingan, Mohd Rosli berkata APMM mematahkan cubaan menyeludup masuk 2,300 karton rokok pelbagai jenis dalam operasi di perairan Kuala Sungai Langat, awal pagi tadi.
Beliau berkata pihaknya turut merampas sebuah bot pancung fiber berwarna kelabu dengan enjin jenis Yamaha 200 kuasa kuda yang digunakan bagi menyeludup rokok itu.
Katanya hasil maklumat risikan, bot peronda APMM yang melakukan Ops Satria Selatan di sekitar perairan itu menahan bot pancung berkenaan yang membawa muatan tersebut dari Pulau Rupat, Indonesia, kira-kira pukul 5.30 pagi.
“Setelah digeledah, bot itu didapati membawa 2,300 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM395,000 dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata tiga orang yang menaiki bot berkenaan termasuk tekong bot, dipercayai warga Indonesia, gagal ditahan apabila melarikan diri ke arah kawasan paya berhampiran. – Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan