AS dakwa hak keistimewaan Melayu satu diskriminasi
BANGI, Khamis – Amerika Syarikat (AS) menganggap hak keistimewaan yang diberi kepada bangsa Melayu dan Bumiputera di Sabah serta Sarawak adalah satu diskriminasi kaum serta agama.
Laporan Amalan Hak Asasi Manusia 2015 oleh Jabatan Negara AS menyenaraikan Malaysia sebagai melanggar hak asasi manusia kerana memberi keutamaan kepada orang Melayu.
Dikeluarkan hari ini laporan itu berkata, kedudukan istimewa yang diberikan kepada bangsa Melayu dan penduduk Bumiputera di Sabah dan Sarawak adalah satu diskriminasi.
“Perlembagaan di Malaysia memperuntukkan perlindungan yang sama di bawah undang-undang dan melarang diskriminasi terhadap rakyat berdasarkan bangsa, jantina, agama, keturunan atau tempat kelahiran.
“Namun, diskriminasi masih berlaku apabila Perlembagaan memperuntukkan kedudukan istimewa untuk bangsa Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, dasar berasaskan kaum itu adalah punca berlakunya jurang ekonomi yang besar antara setiap bangsa di Malaysia.
“Kaum India yang juga sama seperti Cina yang tidak menerima keistimewaan di Malaysia adalah antara golongan yang paling miskin di negara itu,” katanya dalam laporan itu.
Malah, kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk golongan kurang upaya (OKU) turut tersenarai dalam laporan itu.
Menurut laporan itu, walaupun semua bangunan dan kawasan yang dibina mempunyai kemudahan untuk OKU, namun kerajaan tidak mewajibkan penyediaannya.
“Kemudahan pendidikan yang berasingan yang disediakan juga tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan golongan ini, malah terdapat juga diskriminasi dalam pekerjaan terhadap mereka,” kata laporan itu lagi.
Jabatan Negara AS juga melaporkan bahawa anti-Semitisme adalah masalah paling serius berlaku di Malaysia.
“Media milik kerajaan kadang-kadang menyalahkan pihak tertentu terhadap sebarang aktiviti yang membabitkan Yahudi.
“Pada bulan Jun lalu, anggota Kabinet dan Setiausaha Agung UMNO telah mendakwa sebuah portal bebas sebagai satu konspirasi Yahudi terhadap parti itu,” lapornya lagi.
Antara pelanggaran hak asasi manusia lain yang turut disenaraikan dalam laporan itu adalah pengharaman kepada kumpulan-kumpulan agama, sekatan ke atas murtad dan kebebasan menukar agama.
Selain itu, turut disenaraikan adalah penahanan tanpa bicara, keganasan dan diskriminasi terhadap wanita, diskriminasi terhadap komuniti LGBT dan sekatan terhadap hak pendatang asing.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan