‘Baiti Jannati’ hancur disebabkan budaya beli belah di kalangan muslimah: Pembentang dari Indonesia
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
SHAH ALAM, Selasa – Musuh-musuh Islam di Indonesia sudah bergerak secara besar-besaran dengan disokong oleh jaringan organisasi antarabangsa bagi menghancurkan umat Islam di sana terutamanya para muslimah.
Setiausaha Majlis Penasihat Muslimat Hidayatullah Jakarta, Puan Kurnia Irawati Istadi berkata, dunia hiburan bagi muslimah di Indonesia, sangat jauh daripada garis panduan kehidupan Islam.
“Televisyen misalnya sebagai hiburan rakyat yang tergolong murah. Setiap hari menawarkan puluhan siaran yang berlumba-lumba menayangkan lagu-lagu remaja bertema asmara, dengan para penyanyinya yang membuka aurat.
“Sementara itu, filem bertema cinta menduduki rating tertinggi, dengan cerita pergaulan bebas pelakonnya,” kata Ibu Irawati di Persidangan Wanita Islam Antarabangsa (Perwanis) 2016 yang sedang berlangsung di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam, hari ini.
Tidak cukup dengan itu, pihak kapitalis turut menyerang dengan menciptakan budaya suka membeli-belah di kalangan kaum muslimah.
“Di Jakarta sahaja sudah ada 173 kompleks beli belah, Indonesia sudah menjadi kota yang mempunyaI kompleks beli belah terbanyak di dunia.
“Menurut sebuah konsultan hartanah, Cushman and Wakefield, percambahan kompleks beli belah di Jakarta mencapai 3.9% per tahun.
“Ini adalah agenda kapitalis di mana ia mengubah keinginan menjadi kebutuhan (keperluan),” katanya.
Katanya, situasi ini menjejaskan peranan Baiti Jannati (Rumahku Syurgaku) yang pada dahulunya menjadi tempat beristirehat dan berhibur buat keluarga.
“Pada hari cuti, anak-anak menjadi bosan jika duduk di rumah. Kebanyakan keluarga memilih untuk pergi ke kompleks beli belah dan makan juga di luar.
“Justeru, fungsi Baiti Jannati dikalahkan dengan pesona dunia membeli belah di luar rumah. Akibatnya, keluarga Muslim pun menjadi materialistik kerananya,” katanya.
Perwanis 2016 berlangsung selama dua hari sejak pagi tadi dengan penyertaan 150 orang peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.
Program anjuran Wanita Isma ini bertujuan menyediakan platform yang dapat mengumpulkan ahli akademik dan wakil daripada badan-badan kerajaan dan NGO bagi berbincang dan menyumbangkan buah fikiran berkenaan isu-isu wanita dan remaja serta permasalahan sosial.
BERITA BERKAITAN:
Wanita perlu fokus didik anak ke arah pembangunan jati diri: Presiden Isma
SumberFahaman asing punca akidah umat Islam rosak: Ketua Wanita Isma
Ulasan
Catat Ulasan