Bank of Johor mesti bantu rakyat jika ditubuhkan
Oleh Nurul Ashikin Abdul Halim
BANGI, Khamis – Inisiatif yang dicadangkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim untuk menubuhkan ‘Bank of Johor’ dilihat sebagai langkah yang sesuai untuk membantu rakyat Johor.
“Jika penubuhan bank baru itu adalah untuk membantu rakyat Johor dari segi kewangan, saya amat bersetuju dan menyokong cadangan Sultan Johor itu,” kata ahli Centre for Alternative Policies in Economics (CAPE), Ustaz Ibrahim Mohd Hassan Al-Hafiz ketika dihubungi wartawan Ismaweb hari ini.
Bagaimanapun, beliau berharap agar bank itu mempunyai kelainan berbanding bank-bank komersial yang telah sedia ada di negara ini.
“Tetapi, kena ada perbezaan antara bank yang hendak ditubuhkan oleh kerajaan Johor dengan bank-bank komersial yang lain dari sudut operasi dan harga yang ditawarkan kepada rakyat.
“Jika tiada kelainan dengan bank-bank yang lain, saya rasa tidak perlu ditubuhkan bank yang baru, gunakan sahaja bank yang sedia ada,” jelasnya.
Malah katanya, perkara paling penting adalah semua operasi yang bakal dijalankan oleh bank itu haruslah patuh syariah.
“Dari sudut perundangan, untuk menubuhkan sesebuah bank perlulah mendapatkan kelulusan daripada Bank Negara melainkan individu itu mempunyai saham atau pemilikan penuh terhadap bank yang telah sedia ada,” jelasnya.
Menurut beliau, penubuhan bank baru pada masa ini dilihat agak sukar kerana Bank Negara seolah-olah sedang cuba untuk mengurangkan pertumbuhan bank di negara ini dengan menggabungkan bank-bank yang sedia ada.
“Cara ini adalah bagi memastikan bank itu menjadi lebih besar dan kukuh dari sudut pengurusan dan untuk menghadapi risiko kewangan yang tidak menentu,” katanya.
Hari ini, Sultan Ibrahim mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan bank sendiri bagi memudahkan rakyat membuat pinjaman perumahan.
Baginda berharap, penubuhan bank itu dapat memberi pembiayaan terhadap projek pembangunan dan memudahkan rakyat di negeri itu membuat simpanan tabungan dan pelaburan.
CAPE adalah satu kumpulan pemikir bebas di bawah Institut Penyelidikan IRIS yang menggalakkan pandangan alternatif mengenai dasar-dasar ekonomi dan polisi awam.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan