Beliawanis Sabah erat silaturrahim dengan daki Bukit Tirig
Oleh: Anis Sakinah Lokman
TELIPOK, 23 April – “Beliawanis harus menjadikan aktiviti mendaki bukit sebagai salah satu aktiviti fizikal kerana ianya dapat meningkatkan kecerdasan dan kesihatan. Hal ini bertepatan dengan salah satu daripada sepuluh ciri peribadi muslim yang digariskan oleh Imam As-Syahid Hasan Al-Banna iaitu kuat tubuh badan,” kata Wahidatul Husna Zuldin, Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Sabah.
Seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu serta Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Sabah yang juga merupakan ahli-ahli beliawanis PEMBINA Sabah telah berjaya menawan Bukit Tirig, kelmarin.
Tujuan beliawanis PEMBINA Sabah menganjurkan aktiviti seperti ini adalah untuk mendedahkan tentang peri pentingnya melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat menyihatkan tubuh badan dan secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi silaturrahim di antara para beliawanis.
“Pendakian ini sangat bermakna untuk saya kerana kami saling memberi semangat dan bekerjasama untuk menamatkan pendakian ini dan bagi saya aktiviti luaran seperti program ini akan lebih mengeratkan silaturrahim dalam kalangan peserta,” ujar Faiznur Azwah Abdul Hamid, salah seorang ahli beliawanis PEMBINA Sabah.
Selain aktiviti pendakian, para peserta juga telah didedahkan dengan sejarah Bukit Tirig dan mengaitkannya dengan peranan seorang muslim terhadap alam sekitar serta renungan tentang ciptaan Allah SWT.
Misi menawan Bukit Tirig ini berakhir pada pukul 5 petang.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan